CKB

Lambakan pempengaruh toksik

Pensive young attractive girl reading book and sitting on chair isolated on a orange background
- Diterbit 15 Disember 2023 3:00 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

SEKARANG ini serba-serbi hendak dijadikan kandungan (content) media sosial. Tidak kira perkara itu boleh mendatangkan keburukan kepada diri sendiri atau orang lain, semuanya hendak dipapar kepada umum. Seolah-olah semua perkara boleh dijadikan bahan untuk tontonan umum di media sosial.

Hingga ada yang sanggup memaparkan diri sendiri dengan aksi atau keadaan yang sangat tidak senonoh. Semua itu dilakukan tanpa rasa bersalah sekalipun melanggar batas agama dan adab susila.
Rasa aib itu semakin tidak ada kepada penggila media sosial.

Sebaliknya tidak endah dengan hal-hal yang tidak senonoh kerana terperangkap dengan normalisasi kehidupan moden. Suatu yang dulunya difikir seratus kali, kini boleh dilakukan dengan tanpa rasa bersalah.

Itulah akibatnya apabila banyak sangat yang perasan hendak menjadi pempengaruh (influencer) – kerjaya yang terkenal dengan gaya hidup mewah dan glamour. Tetapi mereka tidak tahu bahawa pempengaruh ada dua jenis – berkualiti tinggi dan rendah.

Bagaimanapun yang berlambak adalah jenis berkualiti rendah dan menjadi toksik kepada masyarakat. Memang benar mereka mempunyai pengikut berjuta orang. Bagaimanapun sebahagian pengikut itu tidak ubah seperti lalat.

Pempengaruh yang berkualiti mempunyai pengikut yang meminjam sifat lebah – ada apresiasi yang tinggi terhadap kualiti. Sekalipun tidak sebanyak lalat akan tetapi lebah memberi khidmat menghasilkan madu yang baik untuk manusia.

Istilah pempengaruh muncul pada era kemuncak media sosial. Sebelum itu tidak ada istilah pempengaruh. Diangkat daripada istilah ‘pengaruh’ yang merujuk kepada individu yang mempunyai banyak pengikut di media sosial.

Walaupun begitu pempengaruh hanya mampu mempengaruh khalayak yang sama tahap pemikiran dengannya. Kalau kandungan berkualiti rendah, hanya khalayak yang setaraf itu sahaja menjadi pengikutnya.

Begitu juga dengan pempengaruh yang ada suntikan nilai tinggi dan pemikiran. Golongan dapat mempengaruhi khalayak yang bernilai tinggi daripada sudut pemikiran, status sosial dan kuasa membelinya.

Oleh kerana itu jumlah pengikut bukanlah tanda aras sebenar seseorang pempengaruh. Yang perlu dilihat adalah jenis pengikutnya. Kalau kualitinya rendah, maka khalayaknya hanya berlegar dalam kelompok yang sama. Misalnya suka dengan kandungan yang merapu, rendah moral dan penuh toksik.

Di situlah kebenarannya kata orang bijaksana, perbezaan antara lalat dan lebah adalah selonggok sampah dan sejambak bunga. Lalat menggemari sampah dan lebah memilih bunga.

Pada era digital ini sudah wujud sebahagian remaja yang enggan melanjutkan pelajaran kerana terasuk kilauan kemewahan pempengaruh. Perkara yang berkaitan kemewahan dan glamour sememangnya sangat pantas mempengaruhi remaja yang mentah.

Sebahagian besar daripada remaja itu pula ‘lurus bendul.’ Mereka ‘buta’ tentang kuasa manipulasi oleh media. Mereka fikir semua yang terpapar di media sosial adalah kebenaran – pempengaruh yang memperagakan kemewahan.

Ketika ini dianggarkan tidak kurang 12,000 pempengaruh di negara ini. Kerjaya itu lahir daripada kadar penembusan Internet di negara ini. Statistik menunjukkan kita mempunyai lebih 30 juta pengguna Internet atau 89.6 peratus daripada populasi.

Daripada penembusan Internet yang tinggi itu menyumbang pula pada peningkatan pengaruh media sosial. Facebook misalnya digunakan oleh 21.70 juta pengguna atau 65 peratus daripada populasi. YouTube (23.80 juta pengguna), Instagram (15.55 juta pengguna) dan TikTok (14.59 juta pengguna).

Statistik di atas adalah pemangkin pada kelahiran pempengaruh. Satu kerjaya yang penuh dengan kilauan kemewahan. Hal itulah yang membuatkan sesetengah dalam kalangan remaja terpukau dan mula membina impian untuk menjadi seperti individu berkenaan.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI tidak lama dulu, 34 peratus daripada responden yang terdiri daripada remaja bercita-cita menjadi pempengaruh. Disebabkan itu, mereka tidak berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Barangkali remaja berkenaan mencongak sekiranya belajar hingga ke peringkat PhD sekalipun, belum tentu berpeluang menikmati kehidupan mewah seperti pempengaruh. Malangnya mereka hanya terpesona melulu dan menutup adanya kemungkinan lain yang lebih baik untuk jangka masa yang panjang.

Sememangnya tidak dinafikan kita mempunyai pempengaruh yang berkualiti. Mereka mempunyai pemikiran yang jauh ke depan dan menghasilkan kandungan yang memberikan dorongan hidup kepada khalayaknya.

Untuk berjaya dalam bidang ini dan yang lain juga tetap memerlukan ilmu, pengalaman dan kemahiran sebagai sandaran. Tanpa semua perkara itu, kalau mencatat rating tinggi sekalipun, setakat untuk kaut keuntungan sahaja, tidak lebih daripada itu.

Kalau hanya menaruh impian menjadi pempengaruh tetapi tidak ada rangsangan untuk mencari dan menambah pengalaman dan pemikiran, kalau jadi pun hanya yang bertaraf cap ayam sahaja.

Ilmulah yang membezakan antara seorang pempengaruh dengan yang lain. Berbeza antara yang hanya memburu rating dengan kandungan yang kosong dan yang memberikan manfaat kepada khalayak.

Untuk itu ilmu, pengalaman dan pemikiran adalah sandaran utama selain peka dengan tata susila dan norma sosial. Malah sedar akan kewujudan garis-garis tertentu yang tidak boleh dilanggar di atas apa alasan sekalipun.

Hingga sudah ada dengan sewenang-wenang melanggar garis agama, bongkak dan menghina yang berpegang teguh pada agama. Kegilaan pempengaruh seperti ini memang luar biasa.

Bayangkan, ada pempengaruh yang mempersenda golongan yang patuh pada agama tetapi tidak menjalani kehidupan mewah sepertinya. Hasutan itu memang sudah melampaui batas, sudah dia terbabas dan mengajak orang lain menjadi sepertinya.

Hakikatnya untuk menjadi sesuatu yang berkualiti tinggi mesti bersandarkan ilmu. Kemudian secara berilmu juga menggunakan pengalaman yang dikutip daripada penglibatan dalam sesuatu bidang. Apabila ilmu dan pengalaman bergabung, barulah ada potensi untuk memberikan sesuatu hasil yang berkualiti.

Kesimpulannya, kita tidak mahu lambakan pempengaruh cap ayam yang membawa toksik dalam ahli masyarakat yang sememangnya tidak begitu sihat. Dalam masyarakat yang berkualiti, sepatutnya pempengaruh seperti itu tidak mendapat pengaruh.

Penulis merupakan wartawan bebas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas