Berita

Pemerkasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris harus seiring – Fadhlina

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 9 Mei 2024 6:54 PM MYT

Pemerkasaan Bahasa Melayu harus seiring dengan pengukuhan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua agar kedua-duanya tidak dipinggirkan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, bahasa Inggeris bukan sekadar mata pelajaran yang perlu dipelajari, tetapi alat berharga yang boleh membuka pintu kepada dunia yang penuh kemungkinan.

“Satu langkah penting ke arah ini ialah pelaksanaan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris). Dasar ini adalah untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sambil memanfaatkan potensi ekonomi bahasa Inggeris sebagai bahasa global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah ‘ELS Language Centres (ELS) English Language Ambassador Award Essay Writing Competition’ di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini hari ini.

Fadhlina berkata, selain pemerkasaan kedua-dua bahasa itu , kerajaan ketika ini sedang menumpukan kepada empat aspek iaitu digital; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluasan prasekolah.

“Ini tidak ada kompromi, kerana kita tahu permintaan bukan sahaja terletak pada Bahasa Melayu yang baik tetapi juga menguasai Bahasa Inggeris sebagai pengukuhan dalam sektor tertentu selain sebagai bahasa kedua untuk anak-anak menguasai berbagai bidang dan hala tuju negara.

“Khususnya STEM, TVET dan digital, Bahasa Inggeris perlu menjadi antara bahasa yang harus diperkukuhkan dalam bidang pendidikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas laporan sebuah portal berita berkaitan cadangan pakar untuk mendedahkan bidang STEM dalam kalangan kanak-kanak seawal usia empat tahun, beliau berkata pihaknya mengambil semua pandangan yang diberikan, selain ia sudah berada dalam sesi libat urus kementerian itu.

“Kita sedang melaksanakan sesi libat urus dan telah mengumumkan kerangka Kurikulum Persekolahan 2027. Kesemua elemen itu dimasukkan dalam pengukuhan pelaksanaan di peringkat pra sekolah,” katanya ketika ditemui media.

Terdahulu, Fadhlina menyampaikan hadiah kepada 10 pemenang pertandingan penulisan Bahasa Inggeris dalam talian yang disertai seramai 30,987 pelajar tingkatan lima dan empat dari 516 sekolah di seluruh negara tahun lepas.

Juara pertandingan itu dinobatkan kepada Nur Maisara Ahmad Joha, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Sheikh Ahmad, Perlis yang membawa pulang hadiah berjumlah RM15,000 termasuk wang tunai RM2,000 dan kos lawatan pengajian ke University of Adelaide di Australia selama tujuh hari.

ELS Malaysia merupakan francais Pusat Bahasa ELS yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada 1990 dan mempunyai empat pusat di negara ini iaitu di Kuala Lumpur, Subang Jaya, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.

— BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas