Biz

Jentera penapis air bantu masyarakat

- Diterbit 10 Mei 2024 10:12 AM MYT

CABARAN datang silih berganti dalam bidang perniagaan tidak sesekali melunturkan semangat waja usahawan serba boleh yang dikenali sebagai Datin Noorizan Ithnin, 49.

Lebih sedekad membina empayar, boleh dikatakan pelbagai cabang perniagaan berbeza-beza telah diceburi yang nyata memberi pengalaman hebat dan bermakna buat anak kelahiran Johor ini.

Bercerita lanjut kepada Wilayahku tentang perjalanan beliau dalam bidang perniagaan, Ketua Pegawai Eksekutif MYG Group Holdings Sdn Bhd ini berkata syarikat tersebut mempunyai beberapa produk antaranya pelancongan, teknologi baharu dalam sistem pendidikan dan sistem penapisan air.

Mengorak mengorak langkah ke hadapan, beliau kini sedang melebarkan sayap perniagaan dengan membawa masuk produk jentera penapis air mudah alih bagi menembusi pasaran dalam negara.

“Sejujurnya saya terfikir untuk memperkenalkannya kerana bersimpati dengan orang awam di beberapa lokasi dalam negara yang sering kali mengalami gangguan bekalan air.

“Jadi, jentera penapis air ini merupakan salah satu solusi untuk mengatasi masalah tersebut. Setakat ini kita merupakan satu-satunya syarikat yang menawarkan produk tersebut untuk dimanfaatkan oleh 1,000 sehingga 2,000 penduduk terjejas air dalam satu-satu masa,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Noorizan berkata sistem yang telah diguna pakai di beberapa buah negara luar itu berfungsi dengan cara menarik bekalan air daripada laut atau sungai untuk diproses sehingga selamat untuk diminum seterusnya dibekalkan ke kawasan yang terjejas bekalan.

“Kita gunakan sistem mudah alih di mana jentera tersebut diletakkan di dalam lori dan ia memudahkan perkhidmatan tersebut disalurkan kepada orang awam.

“Bukan sahaja berfungsi untuk membekalkan air tetapi jika sesuatu kawasan tersebut dilanda banjir, jentera tersebut boleh memanfaatkan air banjir dengan memprosesnya kepada air bersih untuk kegunaan harian,” ujarnya.

Tambah beliau, saiz jentera penapis air tersebut bergantung kepada permintaan pelanggan berdasarkan kapasiti mereka yang memerlukan bekalan air di satu-satu tempat yang terlibat.

“Terdapat banyak rekaan antaranya untuk lori kecil sehingga kepada kontena. Selain itu, kita juga sedang dalam perancangan untuk meletakkannya di dalam bangunan.

“Produk ini bergantung kepada pesanan sahaja dan setiap perkhidmatan yang disediakan akan sentiasa dipantau oleh tim penyelenggaraan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Noorizan berkata, beliau dalam rangka untuk memperkenalkan jentera penapis air tersebut kepada pihak kementerian untuk diperluaskan ke seluruh negara bagi membantu mereka yang terkesan.

“Kita juga telah pun menerima beberapa pesanan daripada agensi korporat dan individu persendirian yang ingin membantu masyarakat yang berdepan dengan masalah bekalan air,” ujar beliau.

Berkongsi kejayaan pada hari ini, Noorizan berkata lumrah dalam perniagaan, akan diuji dengan jatuh dan bangun tetapi melalui pengalaman itulah yang membuatkan beliau tetap teguh berdiri dan kuat.

“Saya pernah ditipu berkali-kali termasuk sahabat baik sebanyak RM2 juta sehingga hilang semangat namun pada akhirnya saya sudah lali dengan pancaroba dan pasang surut dunia bisnes,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas