Agama

Tertinggal rukun haji, jemaah bakal berdepan masalah besar

WUKUF di Arafah merupakan salah satu rukun haji. - Gambar hiasan
- Diterbit 10 Mei 2024 12:43 PM MYT

HAJI adalah salah satu daripada lima Rukun Islam. Ia wajib bagi mereka yang mampu namun bukanlah diukur atas dasar kewangan semata-mata tetapi merangkumi kemampuan kesihatan, mental mahupun fizikal.

Allah SWT berfirman di dalam surah Ali-Imran, ayat 97 yang bermaksud:

“Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam.”

Dalam satu hadis yang dicatatkan oleh Abu Hurairah RA berkata: “Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

“Barang siapa melaksanakan haji semata-mata kerana Allah, lalu dia tidak menuturkan (perkataan) keji dan tidak melakukan fasiq (keluar dari ketaatan), dia akan kembali kepada keadaannya seperti baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa).”

Mengulas lanjut tentang ibadah tersebut, pendakwah bebas, Shahrin Abd Rahman berkata terdapat enam rukun haji yang wajib dipatuhi oleh umat Islam dan jika tidak melakukan rukun tersebut maka terbatal atau tidak sah haji seseorang itu.

“Enam rukun tersebut adalah niat ihram haji, wukuf di Arafah, tawaf, sa’ie, bercukur atau bergunting dan tertib di dalam kebanyakan rukunnya.

“Rukun adalah penentu sah atau tidaknya haji. Seseorang yang pulang dalam keadaan tertinggal satu rukun dalam ihram, maka orang tersebut masih dikira dalam keadaan ihram dan haram baginya melanggar pantang larang ihram.

“Barangsiapa yang tidak mengerjakan rukun-rukunnya, maka hajinya tidak sah. Barangsiapa ketinggalan hadir di Padang Arafah pada malam 10 Zulhijjah, maka dia telah tertinggal hajinya. Maka dia hendaklah mengerjakan umrah dan wajib qada hajinya pada tahun berikutnya,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Shahrin, rukun haji apabila ditinggalkan, tidak dapat diganti dengan dam atau denda berupa menyembelih haiwan ternak.

“Disebabkan itu amat penting bagi para jemaah untuk menunaikan dan melaksanakan segala rukun yang telah ditetapkan ini. Jangan mengambil sikap sambil lewa terhadap perkara-perkara tersebut,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ada beberapa situasi yang lebih memburukkan keadan seperti perkahwinan yang tidak sah sehingga melahirkan anak tidah sah taraf jika berlakunya keadaan tidak menyempurnakan rukun haji tersebut.

“Jika seseorang yang tertinggal rukun haji dan pulang ke tanah air dalam keadaan dia tahu bahawa dia masih dalam ihram, jika dia berkahwin maka perkahwinannya tidak sah dan anaknya adalah anak tidak sah taraf melainkan jika dia jahil.

“Jika dia jahil, anaknya sah taraf dan jika dia sedar yang dia masih dalam ihram kerana tertinggal rukun haji maka pernikahannya hendaklah dibubarkan sehingga dia selesai menggantikan rukun yang tertinggal pada haji tahun hadapan. Setelah itu bolehlah dia berkahwin semula,” katanya.

Sementara itu, menurut Shahrin, rukun haji dan wajib haji adalah dua perkara yang berbeza.

“Wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji. Jika tidak mengerjakan salah satu daripadanya haji tersebut tetap sah tetapi dikenakan dam menurut syarat-syaratnya dan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja,” ujarnya.

Enam perkara wajib haji adalah niat di Miqat; larangan ihram; bermalam (mabit) di Muzdalifah; melontar Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah; bermalam (mabit) di Mina 11, 12 dan 13 Zulhijjah serta melontar ketiga-tiga Jamrah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Tegas Shahrin, kesimpulannya setiap ibadah yang dilaksanakan wajib mengikut rukun bagi mengelak tidak sah sesuatu ibadah tersebut.

“Di dalam Islam, setiap ibadah yang dilaksanakan haruslah mengikut rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ini kerana, rukun adalah tulang belakang kepada sesuatu ibadah. Tanpa rukun maka tidak sahlah sesuatu ibadat tersebut.

“Sebelum seseorang hendak menunaikan haji harus baginya mempelajari bab haji atau dalam bahasa yang mudah ialah kena ada ilmu tentang haji terutama dalam penjagaan rukun haji kerana bila tertinggal salah satu daripadanya maka hajinya tidak sah,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas