Biz

Banglo mampu milik RM100,000

MOHAMAD KHANAFI (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mohd. Hatta pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan DPIM Putrajaya di Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8 baru-baru ini.
MOHAMAD KHANAFI (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Mohd. Hatta pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan DPIM Putrajaya di Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8 baru-baru ini.
- Diterbit 2 Julai 2019 12:40 PM MYT

Al-Ansar IBS sasar model baharu capai jualan RM20 juta

PUTRAJAYA – Al-Ansar IBS PLT melancarkan model terbaharu banglo mampu milik rekaan Teratai menggunakan inovasi bumbung teknologi nano dan gentian fiber hibrid dikenali atap gajah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Khanafi Husin berkata, pihaknya menyasarkan pembinaan 150 unit rekaan tersebut menjelang tahun depan dengan unjuran jualan sebanyak RM20 juta.

“Pembinaan lot banglo mampu milik model Teratai sangat praktikal kerana ia ditawarkan pada harga RM100,000 dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keseluruhan berukuran 25 x 39 kaki persegi.

“Al-Ansar Properties merupakan antara kontraktor yang menyokong usaha kerajaan agar membina rumah dengan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) kerana lebih menjimatkan berbanding atap genting,’’ katanya selepas pelancaran rumah tersebut di Kelab Tasik Putrajaya di sini baru-baru ini.

Pelancaran tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya.

Hadir sama Presiden DPIM, Mohamad Sahar Mat Din. Mohamad Khanafi yang juga Pengerusi DPIM Putrajaya berkata, kelebihan atap gajah ialah menggabungkan sepenuhnya Simen Potland SCG dengan selulosa khas
untuk menghasilkan kekuatan dan ketahanan impak lebih tinggi,’’ katanya.

Dalam pada itu katanya, sistem binaan IBS lebih kukuh dan mampu tahan haba dan bunyi serta bersifat penahan kebakaran selain tempoh siap lebih cepat iaitu tiga bulan dan penggunaan tenaga kerja yang minimum.

Katanya, projek pertama banglo IBS Al Ansar menggunakan atap gajah dilaksanakan di Sungai Buah, Bangi, Selangor; Beranang dan Kuang serta Merlimau, Melaka.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas