Berita

PM akan umum SSPA terbaik sejak diperkenalkan

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 25 April 2024 7:08 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka diumumkan dalam masa terdekat, adalah antara yang terbaik pernah diperkenalkan dalam negara.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata SSPA itu akan membabitkan implikasi kewangan yang tertinggi pernah dilakukan.

“Setakat ini saya teliti dan saya tegaskan semula, kajian ini dan sistem saraan ini punyai implikasi, kewangan dan pengiktirafan terbaik yang pernah diperkenal dalam negara.

“Dan ini bukan masalah saudara, masalah kita semua untuk cari dana lebih, saya nak saudara-saudari percaya bahawa saya tidak anggap ini perkara ringan atau enteng,” katanya semasa berucap di Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan lebih 2,000 pegawai tadbir dan diplomatik.

“Dalam mesyuarat bersama ketua setiausaha negara, ketua pengarah perkhidmatan awam (KPPA) dan ketua setiausaha perbendaharaan, saya katakan saya tidak mahu satu jabatan, satu kelompok yang rasa mereka tertinggal. Kita nak ambil tindakan sistem saraan ini yang menyeluruh dan kemudian saya minta dilakukan bersama dengan civil service reform,” katanya.

Justeru Anwar berkata beliau mahu penjawat awam memberikan prestasi kerja yang lebih baik dengan dipantau ketua jabatan masing-masing, malah menegaskan pengiktirafan atau kenaikan pangkat tidak harus diberikan kepada penjawat awam yang malas dan berprestasi lemah.

Selain itu beliau juga mahukan supaya segala kemudahan untuk penjawat awam dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya, dikaji semula.

“Kita beri kemudahan, tapi kita pilih dan nilai prestasi masing-masing. Kalau teruk, lembab dan malas, saya tidak fikir kita harus berikan pengikitrafan. Saya minta KPPA dan pimpinan bincang dengan semua, bagi pandangan tetapi ‘reform’ dalam perkhidmatan awam, dalam erti kata lain tidak melayani kalangan kecil yang prestasinya sangat lemah.

“Kalau kita nak angkat martabat negara kita, kita nak lebih efisien, kita nak nilai orang dari segi prestasinya, kita tidak boleh anggap orang itu wajar diberi pengiktirafan semata-mata kerana umurnya atau lama perkhidmatannya,” katanya.

Anwar turut mengumumkan peruntukan khas RM2 juta kepada PPTD bagi pelaksanaan aktiviti yang telah dirancang dapat dilaksana dengan sempurna. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas