Selebriti

Adibah Noor tak banyak songeh, bukan ‘diva’ – Ezuwan Ismail

|ADIBAH Noor selesa dengan rekaan Ezuwan Ismail.|
- Diterbit 12 Januari 2022 7:14 AM MYT

PEREKA fesyen terkenal Ezuwan Ismail menyifatkan penyanyi Adibah Noor seorang yang senang memberikan kerjasama dan tidak cerewet.

Sepanjang 10 tahun bekerjasama dengan peserta Gegar Vaganza musim kelapan itu, Ezuwan berkata boleh dibilang dengan jari saja pertemuan fizikal membabitkan mereka.

“Kali pertama jumpa dia masa tengah hoskan sebuah acara fesyen di pusat beli belah KLCC. Masa itu saya teman Allahyarham Kak Pah (Datuk Sharifah Aini) jadi ‘muse’.

“Dia tengok baju arwah pakai masa itu dan cakap berkenan. Tambah pula dia dan arwah bertubuh comel atau ‘plus size’.

“Selepas itu, dia pernah datang ke rumah saya untuk ukur ukuran bentuk badan. Masa itu saya belum ada butik lagi.

“Selebihnya aliran komunikasi kami berlangsung selepas itu hanya menerusi telefon bimbit atau bermesej di aplikasi WhatsApp.

“Bayangkan sampai saya sudah ada butik di Taman Dagang, Ampang pun, dia tak pernah jejak. Selepas itu, adalah beberapa kali kami berjumpa untuk sesi ‘fitting’.

“Daripada dulu ukuran baju yang saya ambil kali pertama tak berubah ketara. Paling kurang pun dia akan cakap minta besarkan ukuran lebih seinci. Itupun boleh dikira berapa kali saja dia minta dibesarkan ukuran berkenaan,” katanya.

ADIBAH Noor selesa dengan rekaan Ezuwan Ismail.

Bermula daripada sekali menggunakan khidmat saya sebagai pereka fesyen bajunya, tempahan itu ‘berjangkit’ atau berulang ditempah tanpa henti

“Siap baju yang ditempahnya untuk acara atau pertandingan, hanya sediakan invois untuk bayaran. Selepas itu hanya pembantu peribadi atau pekerjanya yang datang ‘collect’ pakaian di butik saya.

“Dia hanya akan cakap nak warna baju itu ini dengan sejumlah tertentu. Perihal rekaan, semuanya dia serah bulat bulat dekat saya.

“Dia takkan tanya atau nak tengok rekaan bagaimana saya hasilkan untuknya. Bab rekaan, material kain atau potongan, apa yang dia utamakan adalah keselesaan dan nampak elegan walaun berukuran plus size.

“Malah selama ini, memang baju dihantar dan ditempah dipakainya tanpa banyak songeh dan tidak perlu ‘alter’.

“Keserasian dan kepercayaan itu mungkin juga jadi sebab kami terus bekerjasama. Dia tidak takut mencuba warna apa sekalipun. Kalau sudah plus size, buat apa nak sorok lagi. Dia pakai apa yang diingini, janji selesa,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Malah tegas Ezuwan lagi, penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu juga menolak tajaannya dan lebih kepada konsep profesional iaitu membayar pakaian ditempah.

“Pernah saya nak taja baju untuknya. Tapi dia menolak sebab nak ‘support’ survivor pereka fesyen seperti saya. Dulu terlintas hati nak taja masa dia mengacarakan Anugerah Industri Muzik. Dia tolak juga.

“Malah kalau sempena ulang tahun hari lahirnya, saya nak hadiahkan baju. Dia tetap dengan pendirian nak bayar. Atau paling kurang pun, dia hanya akan bersetuju bayar separuh kos baju itu macam komitmennya sepanjang di GV 8. Siap tak berkira ‘tag’ nama saya di bawah entri baju dipakainya,” katanya yang turut menjadi pilihan selebriti seperti Rozita Che Wan, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nelydia Senrose, Uqasha Senrose dan ramai lagi.

Mengenang kembali persahabatan dan kerjasama mereka, Ezuwan teringat kata kata seseorang yang pernah cakap betapa untungnya mana mana pereka fesyen itu kalau Adibah mempercayai khidmat dan bakat dimiliki.

“Masin mulut yang cakap itu. ‘Jodoh’ saya dengannya kuat sampai sekarang. Malah bukan nak bodek dia sebab guna khidmat saya. Tapi saya pernah dengar ada cakap dia diva dan cerewet. Namun sepanjang kerjasama kami, dia sangat ‘sempoi’ dan tidak seperti digambarkan.

“Pada akhirnya saya cuba berikan yang terbaik untuknya. Tambah pula, dia barangkali percaya bukan mudah untuk orang bertubuh gebu mendapat pakaian sesuai.

“Ini saya teruja nak siapkan pula baju separuh akhirnya untuk GV8. Kalau dia ada rezeki ke ‘final’, semestinya saya nak siapkan baju paling meletop untuknya,” katanya sambil mengakui tidak mempunyai gambar berdua bersama lantaran tidak selalu berjumpa.

Selain Adibah, pentas separuh akhir GV8 turut menyaksikan Suki Low, Aliff Aziz, Aweera, Nikki Palikat, Azan Scan, Ani Mayuni dan Shidee bakal berentap sesama sendiri menempah tiket ke final. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas