Selebriti

Farisha Iris tidak mahu gimik murahan promosi lagu ‘Baek’

- Diterbit 12 Januari 2022 9:00 AM MYT

PENYANYI Farisha Iris mengaku tidak mahu mencipta gimik murahan semata-mata bagi mempopularkan lagu dan dirinya.

Farisha atau nama sebenarnya Farisha Asmadi,22, mengakui itu bukan cara yang sepatutnya diambil seseorang penyanyi selain tidak gemar dengan pendekatan itu.

“Kalau gimik daripada pandangan netizen, mereka cepat percaya dan suka dengan ‘drama’ yang hebat. Sekaligus, dapat menarik perhatian dan promosi percuma. Sudah pasti perkara itu dapat menaikkan nama.

“Namun, dari pandangan saya sebagai penyanyi, saya tidak gemar untuk melakukan sebarang gimik. Biarlah setiap apa yang dihasilkan itu secara semula jadi selain dapat menarik perhatian umum dengan sendirinya. Walaupun, sambutan tidak sehebat yang ada gimik tapi itulah kenyataan,” katanya.

Menurut Farisha, lagu dan nama harus bergerak seiring tanpa perlu melalui satu fasa yang mana harus berdepan kecaman orang ramai atau netizen terlebih dahulu.

“Pendekatan saya supaya orang sayang dan hargai bakat saya adalah kena letakkan usaha yang lebih dari segi bakat, dari segi pemilihan lagu dan tambahkan pengalaman dalam industri.

“Sekarang, saya terfikir juga untuk teruskan ambil kelas vokal supaya makin bertambah baik.

“Mungkin, saya juga kena cuba bakat lain selain menyanyi iaitu berlakon atau mengacara, mana tahu. Sebab kita tak tahu pada akhirnya nanti apa yang sesuai dan sebati dengan diri sendiri.

“Andai kata saya tidak ada rezeki dalam nyanyian, tidak raih ramai pendengar, saya terbuka untuk cuba bidang lain,” ujarnya.

Terbaharu, selepas muncul dengan lagu Hello pada awal tahun ini, Farisha melancarkan pula single Baek yang turut berkolaborasi dengan rapper Alan D.

Lagu ciptaan komposer Mingaling dan lirik oleh Amir Hasan ini adalah terbitan syarikat rakaman 17 Eleven Music yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Januari 2022 yang lalu.

“Pada awal 2021, saya sudah ulang alik ke studio Mass Music untuk lebih kenal dengan komposer dan penulis lirik lagu Baek.

“Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang inginkan kejujuran lelaki itu dan mencari kekasih yang setia. Apabila mereka sudah bersama, wanita ini minta lelaki itu menjaga dirnya dengan baik, setia dan gembira.

“Cabaran merakamkan lagu ini adalah, saya kena sesuaikan diri dengan genre pop, sebab bunyi lagu ini sangat urban dan lebih kepada penceritaan.

“Walaupun, bunyi macam senang nak nyanyi, tapi saya berasakan ada cabaran dari segi vokal. Nak rakam dalam studio agak susah, kena ada stamina dan teknik vokal yang baik. Apatah lagi menyanyi secara langsung.

“Ini kerana saya utamakan pandangan penyanyi senior dalam industri untuk mendengar muzik dan vokal yang berkualiti. Dalam masa sama, pendengar pun menjadi keutamaan saya, sebab siapa lagi yang akan menyokong bakat saya kalau bukan mereka,” katanya.

Mengenai genre lagu Baek itu, Farisha berkata dia kagum dengan melodi yang dihasilkan.

“Pertama kali mendengar demo lagu ini, saya sudah mula kagum dengan melodi dan gubahan lagu ini. Sudah tentu disebabkan genre juga. Jadi, saya sudah mula untuk mencuba dekatkan diri dengan genre pop yang ada bahagian rap.

“Saya juga tertarik dengan idea ‘feat’ atau berkolaborasi bersama penyanyi rap. Sebab saya sangat berbesar hati untuk ada pengalaman ‘featuring’ dengan mana mana penyanyi,” katanya.

Ditanya berkenaan kolaborasi dengan rapper Alan D, menurut Farisha dia teruja apatah lagi pernah mendengar lagu nyanyian Faizal Tahir bersama Alan D.

“Apabila kali pertama saya diberitahu dapat ‘featuring’ dengan Alan D, secara automatik saya teringat lagu Alan D bersama Faizal Tahir iaitu Luka Hati.

“Macam kebetulan sebab saya suka mendengar lagu itu. Jadi, ini satu peluang yang besar untuk saya dan Alan D tonjolkan bakat yang kami ada.

“Jadi, harapan saya untuk single terbaru ini agar ia mendapat maklum balas dan sambutan yang baik dari semua peminat saya dan pendengar. In shaa Allah, saya akan terus menghiburkan semua orang,” katanya.

Sementara itu, Alan D mengakui senang bekerjasama dengan Farisha.

“’Attitude’ dan sikap Farisha yang sentiasa positif dan berfikiran terbuka membuatkan lagu ini menjadi.

“Saya amat senang hati dan gembira dengan tenaga dan aura yang Farisha bawa ketika rakaman lagu di studio dan video muzik. Dia juga seorang yang aktif dan penuh dengan semangat.

“Bagi saya, lagu ini sebuah lagu yang orang ramai atau pendengar boleh kaitkan dengan kehidupan seharian.

“Selain itu saya dan Farisha mempunyai suara yang unik di mana lagu ini amat sesuai dengan suara dan ‘tone’ kami. Genre lagu ini kotemporari hip hop. Tambahan pula bahagian korus lagu ini menarik dan ‘catchy’ senang untuk pendengar menyanyi bersama,” katanya.

Dalam masa sama, Alan D berharap lagu Baek ini diterima baik peminat muzik tanah air.

“Harapan saya, apabila orang mendengar lagu ini akan ikut bersama menyanyi dan sekaligus menghayati setiap bait lirik.

“Saya harap setiap pasangan bercinta, atau dalam perhubungan mahu pun sudah berkahwin, sayang antara satu sama lain dan jaga baik baik pasangan anda. Hargai pasangan anda dan buktikan sayang itu,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas