Berita

Malaysia ada kelebihan di Piala Thomas – June Wei

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 April 2024 2:05 PM MYT

PEMAIN profesional negara Cheam June Wei menyifatkan pasukan negara mempunyai kelebihan tersendiri pada pertarungan pusingan pertama bertemu Hong Kong pada kejohanan Piala Thomas 2024 yang akan bermula di Chengdu, China, Sabtu ini.

June Wei, 27, berkata kem latihan yang telah bermula di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara kira-kira tiga minggu lepas telah membantu pasukan dan dirinya, terutama dari segi semangat berpasukan.

Beliau yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara solo pada 2021 tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja untuk kembali menggunakan fasiliti lengkap disediakan badan induk itu.

“Malaysia mempunyai kelebihan jika dilihat dari segi kedudukan ranking, jadi terus fokus dan jangan terlalu banyak berfikir. Aktiviti dan suasana di ABM sangat positif.

“Walaupun di bawah pengawasan Wong Choong Hann (bekas pengarah kejurulatihan perseorangan BAM yang kini menjadi jurulatih perseorangan lelaki Hong Kong), saya tidak fikir semangat berpasukan mereka lebih tinggi daripada kami kerana Malaysia dalam acara berpasukan sentiasa mempamerkan prestasi yang baik,” katanya kepada pemberita di ABM di sini hari ini.

Ditanya adakah beliau sudah bersedia untuk bertemu sama ada Chan Yin Chak (ranking ke-92 dunia) atau Jason Gunawan (ke-95), June Wei yang kini berada di kedudukan 63 dunia berkata beliau sedikit pun tidak gentar untuk bertemu mereka.

June Wei juga menyatakan bahawa mewakili negara dalam kejohanan berpasukan mampu meningkatkan kerjaya mereka sebagai pemain profesional.

“Bagi kami, pemain profesional, bertanding di kejohanan utama dunia boleh menarik perhatian pihak penaja dan membolehkan kami meneruskan kerjaya,” katanya.

BAM menyenaraikan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bagi membawa cabaran negara di Piala Thomas 2024, yang diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas