Selebriti

“Saya tak mahu langgar SOP”… Min Yasmin tolak tajaan jet peribadi ke Filipina

|MIN Yasmin bersama suaminya
- Diterbit 11 Januari 2022 10:34 AM MYT

PENYANYI Malaysia yang popular di Filipina, Min Yasmin akui rindu untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya di sana.

Menurut Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 33, selain menerima penghargaan luar biasa peminat-peminat di sana, Min pernah dikawal tentera tempatan sebagaimana yang dipaparkan menerusi muzik video lagunya berjudul Belum Lelah Setia.

“Saya selalu cakap pada suami, momen dihargai di sana memang betul-betul lain, berbeza. Ia sangat berharga, mungkin saya sendiri tidak dapat merasai situasi sedemikian di tempat lain setakat ini.

“Misalnya ketika baru sahaja mendarat di lapangan terbang, mereka sudah setia menanti. Siap dengan sepanduk yang besar. Sanggup ‘print’ poster dan sebagainya. Malah saya pernah diiringi kawalan tentera.

“Ada wakil media tempatan sebelum ini yang pernah datang menonton persembahan saya di sana tahu akan situasi itu. Mana-mana bergerak, akan ada yang kawal.

“Boleh lihat dalam muzik video lagu Belum Lelah Setia. Itu hanya kunjungan saya melawat pulau-pulau sekitar. Awalnya memang tak rancang untuk dilakukan muzik video.

“Kalau ada kawalan, biasanya dalam 15 hingga 20 tentera yang kawal jika ia melibatkan kawasan pulau, dengan pihak marin lagi. Memang mereka kawal betul-betul,” katanya.

MIN Yasmin bersama suaminya, komposer terkenal Julfekar

Bersyukur atas sambutan baik yang diterima, isteri kepada komposer terkenal, Julfekar ini juga mendedahkan dia ditawar jet peribadi untuk bawanya ke Filipina bulan lalu.

“Jujurnya kebelakangan ini saya sudah ada terima beberapa undangan nyanyian di sana. Malah akhir tahun lalu, ada pihak dari Filipina yang sudi ambil saya di Sabah dengan jet peribadi untuk satu persembahan makan malam.

“Namun saya akur dengan keadaan pandemik COVID-19 yang belum reda. Saya tak mahu langgar SOP (Prosedur Operasi Standard) kerana Filipina belum menerima pelancong luar buat masa ini.

“Jadi, saya rasa lebih baik fokus kerjaya di sini terlebih dahulu. Tunggu pandemik ini betul-betul reda, insya Allah saya akan ke sana.

“Tidak dinafikan, industri muzik di sana adalah bisnes yang besar. Namun selama saya terima jemputan untuk membuat persembahan di Filipina, saya tidak pernah sebut harga.

“Selalunya penganjur akan kongsi berapa bajet mereka terlebih dulu. Ada sebahagian bayaran persembahan diterima dalam US Dollar dan ada juga dalam nilai Peso,” ujarnya lagi.

MIN Yasmin di majlis pelancaran album solonya berjudul Min Yasmin: World On A String ilham Julfekar, yang berlangsung di Sabah Hotel, Sandakan, Sabah, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, rindu peminat Min di Malaysia terubat apabila muncul dengan album berjudul Min Yasmin: World On A String ilham Julfekar.

Album ini mengandungi 18 buah lagu antaranya adalah Belum Lelah Setia, Kembalilah Kasih, Canda Yang Hilang, Hilangkanlah, Wahai Kekasih, Sedikit-Sedikit Kata I Love You, Jagalah Hatimu dan banyak lagi.

DAPATKAN album solo Min Yasmin yang mengandungi 18 buah lagu.

Apa yang lebih istimewa, Min bakal mengadakan konsert Min Yasmin Live In Sandakan pada 11 Mac ini dan konsert terbuka yang bakal berlangsung di Tiong Hua Hall, Sandakan pada 13 Mac depan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas