Berita

150 pek barangan keperluan diagih kepada penghuni PULAPOL

IZUDIN Ishak(Cap putih) menyatakan sesuatu kepada wakil penerima sumbangan di PULAPOL, Jalan Semarak ketika serahan bantuan berupa 150 kampit beras dan barang keperluan harian.
- Diterbit 14 Februari 2021 7:32 AM MYT

ASPEK kebajikan dan keperluan penghuni Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur tidak dilupakan masyarakat setempat yang prihatin terhadap rutin kehidupan keluarga anggota petugas barisan hadapan negara.

Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Izudin Ishak berkata, menyedari keperluan ahli keluarga anggota polis yang turut sama merasai tempias penularan pandemik COVID-19, menjadi pertimbangan bagi parti politik di kawasan untuk tampil memberikan sumbangan.

Beliau berkata, barangan kegunaan harian yang disumbangkan diharap dapat memenuhi seketika keperluan dapur isi rumah anggota polis dan ahli keluarga mereka yang pastinya turut terkekang pergerakan dan kemampuan kewangan.

“UMNO Bahagian Setiawangsa tampil menyantuni para anggota polis PULAPOL dengan memberi bantuan 150 kampit beras dan barang keperluan lain antaranya gula, susu, minyak masak, tepung dan lain-lain lagi barang asas yang merupakan bahan kegunaan ramai.

“Jadi dengan sedikit sumbangan ini, saya serta UMNO Bahagian ini berharap ia mampu berikan kelegaan untuk mereka dan menunjukkan bahawa kami orang awam di luar sentiasa ambil maklum berkenaan kebajikan anggota dan ahli keluarga mereka.

“Paling penting, budaya saling membantu selain melengkapi antara satu sama lain ini berupaya menjadi perangsang buat petugas barisan hadapan negara ini terus berkhidmat tanpa beban” katanya ketika serahan sumbangan bagi Program Santuni Warga Masyarakat COVID-19 di PULAPOL, Jalan Semarak, baru-baru ini.

Selain UMNO Bahagian, program kebajikan yang digerakkan itu turut sama dijayakan oleh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah (MPPWP) Zon Setiawangsa dan NGO, Setiawangsa Cares.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas