Berita

“Memanglah sedih sambut berjauhan, mujur boleh video call” – Alvin Chong

- Diterbit 14 Februari 2021 4:00 AM MYT

SAMBUTAN Tahun Baru Cina tahun ini pastinya berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana masyarakat perlu menyambutnya dengan norma baharu disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Memandangkan negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat tidak dibenarkan untuk merentas daerah dan negeri untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Pelakon Cina popular, Alvin Chong,30,  mengaku agak sedih menyambut Tahun Baru Cina (CNY) seorang diri di Petaling Jaya, Selangor, tanpa keluarga di sisi.

Namun, dengan adanya teknologi komunikasi seperti aplikasi video call bukanlah penghalang buat Alvin untuk makan besar bersama keluarga pada malam Tahun Baru Cina.

“Malam Tahun Baru Cina saya makan makanan yang dipesan melalui grab food. Memanglah sedih Sambut berjauhan, mujur boleh video call. 

“Masa inilah kita boleh memanfaatkan teknologi untuk mendekatkan yang jauh. Walaupun tidak sama situasinya, tapi kemeriahan tetap ada,” luah Alvin yang tidak dapat pulang beraya di Pulau Pinang bersama keluarga. 

Bagi pelakon drama bersiri Takdir Yang Tertulis ini, keselamatan diri dan keluarga adalah lebih penting.

“Tidak dinafikan, rasa janggal juga kerana kebiasaannya sambut bersama keluarga. Mak pun ada bertanya kenapa tidak balik, apa boleh buat semua rakyat tidak dibenarkan untuk merentas negeri. 

“Saya sedar, merentas negeri tidak dibenarkan adalah untuk kebaikan bersama. Risau juga kalau balik kampung jumpa mak. Iyalah, macam-macam boleh berlaku. Kes COVID-19 pula makin meningkat. 

“Buat sementara ini, patuhi arahan kerajaan agar kita semua boleh menang,” ujar Alvin lagi yang popular dengan lagu Sayangku Salmah. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas