Berita

10 pelajar kurang mampu, terima tablet PrIhaTIn

KhAIRUL Rizam berucap pada Majlis Penyerahan Tablet Tajaan GPMSWP kepada 10 pelajar terpilih di PA Sri Perak, Bandar Baru Sentul, baru-baru ini.
- Diterbit 14 Februari 2021 7:35 AM MYT

USAHA murni digerak Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Wilayah Persekutuan (GPMSWP), melancarkan tabung kutipan sumbangan untuk inisiatif 1 Tablet 1 Keluarga, dianggap tepati keperluan semasa dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).

Pengerusi GPMSWP, Khairul rizam abu samah berkata, inisiatif tersebut muncul selepas mereka menerima pelbagai maklum balas beserta aduan daripada pelajar di sekitar Wilayah Persekutuan berhubung kemampuan keluarga masingmasing untuk membeli gajet bagi kegunaan PdPR.

Beliau berkata, menyedari kekangan dihadapi itu, GPMSWP tampil melaksanakan inisiatif 1 Tablet 1 Keluarga dengan sasarannya untuk menyantuni seramai mungkin pelajar di Wilayah Persekutuan yang berhadapan dengan isu PdPR tanpa tablet.

“Pada permulaan ini, sasaran GPMSWP meliputi seluruh kawasan parlimen Wilayah Persekutuan dengan fokusnya anak-anak golongan B40 bagi membolehkan mereka memiliki tablet seterusnya memudahkan sesi pembelajaran.

“Bagi serahan sumbangan tablet fasa pertama ini, GPMSWP menjalin kerjasama dengan Persatuan Penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Perak di Bandar Baru Sentul dan MPPWP Zon Parlimen Batu bagi penyerahan tablet di kawasan Batu.

“Seramai 10 pelajar dikenal pasti memerlukan sumbangan fasa pertama di Parlimen Batu hasil kerjasama kami dengan Persatuan Penduduk PA Seri Perak selain pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul,” katanya dalan selepas Majlis Penyerahan Tablet Kepada Pelajar di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MPPWP Parlimen Batu, Gulam Muszafar Gulam Mustakim turut serta menyaksikan sesi tandatangani satu perjanjian antara kedua belah pihak.

Mengulas lanjut, Khairul Rizam berkata, jalinan yang dibentuk melalui Memorandum Kerjasama itu bertujuan mengukuhkan lagi inisatif 1 Tablet 1 Keluarga di Parlimen Batu.

“Dengan termeterai Memorandum Kerjasama ini antara GPMSWP dengan Persatuan Penduduk PA Seri Perak Bandar Baru Sentul, bagi mewujudkan sokongan kepada pelajar dalam penggunaan dan bantuan data internet.

“Pads kesempatan ini, GPMSWP berterima kasih kepada semua penyumbang tabung pendidikan dan kami sentiasa alukan sumbangan daripada mana-mana individu atau syarikat bagi bersama memastikan inisiatif 1 Tablet 1 Keluarga ini dapat diperluas dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas