Utama

YWP terus bantu warga kota

BAKUL makanan turut diberikan kepada mangsa yang terjejas banjir di Kuang, Selayang baru-baru ini.
- Diterbit 21 Januari 2022 4:30 AM MYT

MUSIBAH atau bencana sering berlaku tanpa diduga dan meninggalkan kesan yang mendalam terutama buat mangsa yang terlibat.

Terus cakna dengan nasib mangsa, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa tampil dalam memberikan bantuan awal kepada mereka yang ditimpa musibah.

ZAIZALNIZAM

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata baru-baru ini YWP telah menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Perumahan Awam (PA) Setapak Jaya.

“Isnin lalu kita telah memberi bantuan wang tunai sebanyak RM500 kepada dua buah keluarga yang terjejas.

“Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang telah turun padang melawat mangsa kebakaran,” katanya.

Beliau berkata unit rumah transit akan diberikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada mangsa sementara rumah mereka dibaik pulih.

“Setakat ini hanya bantuan berbentuk wang tunai diberikan tetapi kita akan lihat bantuan lain yang diperlukan selepas mereka mendapat unit transit,” tambahnya.

Dalam pada itu, Zaizalnizam berkata YWP turut menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kuang.

“Pada Selasa lalu juga, kita ada menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kuang.

“Wang tunai sebanyak RM300 diberikan kepada 130 mangsa banjir dan disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan sendiri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim,” jelasnya berkenaan bantuan yang telah disampaikan oleh pihak YWP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas