Berita

Naik gaji tingkat prestasi

- Diterbit 26 April 2024 8:40 AM MYT

KENAIKAN emolumen penjawat awam yang dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini bakal meningkatkan prestasi golongan tersebut bahkan turut memberdayakan perkhidmatan awam negara.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata penjawat awam di negara ini bukan sahaja sudah terlalu lama tidak menikmati kenaikan gaji tetapi mereka juga akan lebih bermotivasi untuk menyampaikan perkhidmatan di luar kebiasaan.

“Menerusi kenaikan ini, ia dilihat mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dan inilah yang kita mahukan malah sehingga hari ini ada penjawat awam yang mempunyai corak kerja yang di luar kebiasaan dan skop kerja tetapi mereka akan lebih berdaya saing dengan penstrukturan gaji baru ini,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Mohamad Tawfik, rakyat juga akan meletakkan harapan yang tinggi dalam sistem penyampaian dasar, pelaksanaan dan maklumat daripada penjawat awam yang juga tulang belakang kepada jentera kerajaan.

“Saya yakin semangat dan wajah baharu perkhidmatan awam akan muncul selari dengan kenaikan emolumen yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Selain itu, rakyat akan mendapat manfaat yang besar berikutan kenaikan itu nanti turut akan meningkatkan nilai perkhidmatan awam negara,” katanya.

Mohamad Tawfik berkata tidak timbul pengumuman berkenaan bermotif politik memandangkan sudah lebih 10 tahun tiada kenaikan emolumen kepada penjawat awam sebelum ini.

“Saya mengunjurkan untuk semua pihak supaya melihat usaha berkenaan dari aspek positif dan jangan terperangkap dengan mainan politik tidak sihat yang berhasrat mengetepikan usaha untuk menghargai penjawat awam yang telah banyak berjasa kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, Moahamad Tawfik berkata beliau sememangnya menjangkakan usaha Perdana Menteri mendorong kenaikan emolumen penjawat awam merupakan langkah pertama dalam usaha  mereformasikan perkhidmatan awam ke arah lebih berkualiti sesuai dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ia mestilah bermula menerusi satu pasukan jentera yang ada motivasi dan mendokong setiap perubahan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.

“Jika jentera iaitu penjawat awam tidak dihargai, maka kita sukar untuk mendapatkan kualiti kerja dan pelaksanaan reformasi yang dihasratkan oleh kerajaan mungkin tidak menyeluruh.

“Justeru, ini adalah asas atau tapak penting kepada semua pihak untuk memulakan langkah drastik reformasi perkhidmatan awam di Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas