Berita

Jalaluddin ketuai konvoi KL-Arau sempena pra sambutan Hari Wilayah Persekutuan

DATUK Seri Jalaluddin Alias berharap program konvoi seumpama ini boleh diperluaskan lagi ke negeri-negeri di selatan tanah air dan Pantai Timur.
- Diterbit 21 Januari 2022 4:37 AM MYT

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias mengetuai lebih 50 peserta konvoi bermotosikal berkuasa tinggi sempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia mulai hari ini dan dijangka tamat pada Ahad (23 Januari).

Jalaluddin berkata, konvoi yang dinamakan ‘Golden Ride Kuala Lumpur – Arau 2022’ itu merupakan pra sambutan jubli emas Bandaraya Kuala Lumpur yang bermula dari Dataran Merdeka hingga Arau, Perlis melibatkan perjalanan sejauh 464 kilometer (km).

“Konvoi ini melambangkan atau membawa signifikan kepada sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur 2022 yang turut disambut pada 1 Februari ini.

“Sepanjang konvoi ini, kami turut menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu masyarakat yang terkesan terutamanya golongan asnaf dan B40 yang telah dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan konvoi tersebut, di sini, hari ini.

Program Golden Ride Kuala Lumpur – Arau 2202 itu dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Turut serta dalam konvoi tersebut, Pengerusi SW Corp, Datuk Rizalman Mokhtar yang juga Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Konvoi bermotosikal itu dilepaskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah kira-kira 8.15 pagi tadi.

Pada masa sama, Jalaluddin berkata, untuk penganjuran masa hadapan, beliau menyasarkan konvoi seumpama itu boleh menjadikan beberapa kawasan bertaraf bandaraya bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

“Saya berharap agar program konvoi seumpama ini boleh diperluaskan lagi ke negeri-negeri di selatan tanah air dan Pantai Timur,” katanya.

Dalam pada itu, Mahadi berkata Golden Ride Kuala Lumpur – Arau 2022 merupakan program pembukaan kalendar Sambutan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur 2022 yang akan berlangsung mulai Febuari hingga Jun depan.

“Dengan adanya program seperti ini, saya percaya ia akan membangkitkan semangat kita untuk menyambut ulang tahun Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya sekali gus mempromosikannya kepada seluruh rakyat Malaysia dengan lebih meluas,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas