Warga Labuan minta diteruskan Program Jualan Keluarga Malaysia
RATA-RATA orang ramai mengambil peluang berbelanja barang keperluan sempena PJKM.

Warga Labuan minta diteruskan Program Jualan Keluarga Malaysia

WARGA Labuan yang sempat ditemui menyambut baik pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di wilayah itu.

Menurut Roslan Kario, 65, program itu perlu diteruskan dari masa ke masa kerana banyak barangan keperluan boleh dibeli dengan harga yang lebih murah.

“Program ini perlu diteruskan lagi kerana ia membantu rakyat untuk berjimat semasa berbelanja barangan keperluan kerana kebanyakan harga barangan kini meningkat dengan ketara.

“Saya juga berharap kerajaan memandang serius isu kenaikan harga barangan seperti telur ayam dan barangan dapur yang lain agar tidak membebankan para pengguna,” katanya yang ditemui pada program itu di salah sebuah pasar raya di sini, baru-baru ini.

Bagi Mohd Shahrum Suhaili, 37, PJKM amat baik untuk membantu meringankan beban rakyat di pulau itu.

“Program ini bagus untuk rakyat kerana menyediakan barangan pada harga yang berpatutan, sebaiknya program ini diteruskan untuk meringankan beban rakyat dalam mendapatkan barangan keperluan harian,” katanya.

Alina Mohd Shah, 53, pula mencadangkan agar barangan-barangan basah turut ditambah pada pelaksanaan program itu di masa hadapan.

“Saya dapati harga barangan basah turut mengalami peningkatan, saya mencadangkan agar barangan basah juga ditambah dalam senarai barangan yang terlibat dengan program ini.

“Program ini wajar diteruskan bagi mengimbangi kenaikan harga barangan yang berlaku dari masa ke masa,” jelasnya.

Bagi seorang penjaja kecil, Sofia Maruni, 34, menyokong program itu yang boleh membantu para penjaja kecil sepertinya.

“Program ini membantu penjaja kecil untuk mengurangkan kos perniagaan yang meningkat ekoran harga barangan semakin mahal.

“Rasa serba salah kalau kami naikkan harga makanan kepada pelanggan, oleh itu saya harap barangan seperti tepung, bawang, gula dan ayam akan terus dimasukkan dalam program ini di masa depan,” kongsinya.

PJKM diadakan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya pengguna dari kalangan berpendapatan rendah.

PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )