Berita

YWP rangkul Best CSR Award 2022 in Urban Development

KPE YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun menerima Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Mandarin Oriental baru-baru ini.
- Diterbit 26 Ogos 2022 7:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) telah diberikan Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terbaik dalam Pembangunan Bandar anjuran Malaysia Best Business Award bagi tahun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata anugerah tersebut merupakan penghargaan ke atas usaha yang telah dilaksanakan melalui beberapa program bertujuan untuk membantu warga Wilayah Persekutuan.

“YWP merupakan sebuah badan yang berfungsi untuk membantu dan memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui program di bawah Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T) yang menyasarkan kepada semua golongan sasar yang memerlukan.

“Penghargaan ini dapat memacu kami untuk terus menyumbang dan berbakti melalui pelaksanaan program dengan lebih efektif dalam membantu warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang memerlukan, dalam masa sama tidak meminggirkan rakyat Malaysia yang lain,” katanya kepada Wilayahku.

Majlis yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada 21 Ogos itu menyaksikan beliau menerima anugerah tersebut daripada Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang turut diiringi oleh Pengerusi Malaysia Best Bussiness Award, Shahir Adan.

Anugerah berprestij ini adalah pengiktirafan yang diberi dari Malaysia Best Business Award 2022, bertujuan menyambut kegemilangan perniagaan-perniagaan selain memupuk semangat bersama usahawan-usahawan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas