Berita

Bentang bajet awal perkara biasa – Ismail Sabri

ISMAIL (tengah) memasukkan replika kunci sebagai gimik pelancaran USHA Niaga Keluarga Malaysia di Odeon Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini petang ini.
- Diterbit 26 Ogos 2022 10:53 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembentangan bajet awal dari dijangka adalah perkara biasa.

Katanya, pada zaman pentadbiran Perdana Menteri ke lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyaksikan perkara sama dilaksanakan.

“Bentang Bajet 2023 adalah perkara biasa. Dulu zaman Pak Lah buat bulan September.

“Apapun, tunggu Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya ringkas ketika ditanya wartawan selepas merasmikan program USHA Niaga Keluarga Malaysia di Odeon Walk, di sini, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rancangan kerajaan untuk membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini lebih awal tiga minggu dari dijadualkan.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Beliau tiba kira-kira jam 4.30 petang di Odeon Walk disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Sementara itu, Ismail Sabri meluangkan masa menyaksikan tayangan multimedia dan turut menyampaikan zakat UDA berjumlah RM100,000 kepada empat usahawan asnaf.

Beliau kemudian dibawa melawat pameran usahawan UDA USHA Niaga Keluarga Malaysia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas