Berita

Shahidan dilantik Presiden KL City FC

KLFA memaklumkan Shahidan (tengah) akan bertindak sebagai penasihat dalam urusan berkaitan bola sepak untuk membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi. - Gambar fail.
- Diterbit 26 Ogos 2022 5:19 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyambut baik pelantikan beliau sebagai Penaung merangkap Presiden Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

“Saya berterima kasih atas pelantikan sebagai Penaung merangkap Presiden KL City FC seperti yang diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad.

“Bagaimanapun saya akan menerima jawatan tersebut setelah saya membuat semakan dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan KL City FC bebas dari sebarang isu.

“Ini bagi memastikan prestasi kelab bola sepak tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik,” kata beliau yang juga merupakan Presiden Renang Malaysia (MS) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam kenyataan menjelaskan Shahidan akan bertindak sebagai penasihat dalam urusan berkaitan bola sepak untuk membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Presiden KLFA Khalid Abdul Samad berkata sukan bola sepak merupakan penyatuan antara mereka yang berbeza fahaman politik namun boleh bersatu demi memajukan bola sepak Kuala Lumpur.

“Saya percaya kami dapat bersama-sama dalam membawa kelab ini ke arah kejayaan dan pencapaian yang lebih tinggi lagi pada masa akan datang,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL City Stanley Bernard berkata kunci bagi pengukuhan kelab itu adalah dengan mengumpulkan semua pihak yang berkepentingan.

“Cuba bayangkan, sebuah kelab yang mendapat sokongan pihak tersebut yang sanggup mengetepikan perbezaan dengan matlamat membina pasukan yang kuat dan kompetitif,” kata beliau berhasrat mewujudkan sebuah kelab bola sepak yang profesional. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas