Utama

YWP belanja RM22.2 juta untuk pendidikan warga Wilayah Persekutuan

- Diterbit 7 Mei 2021 6:36 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) telah membelanjakan kira-kira RM22.2 juta untuk pendidikan warga Wilayah Persekutuan.

Menteri WIlayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, jumlah tersebut termasuk dengan beberapa bantuan.

“Antara bantuan yang disampaikan adalah Bantuan Awal ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang merupakan bantuan kewangan dalam bentuk one-off bernilai antara RM500 hingga RM5,000 kepada anak-anak Wilayah Persekutuan daripada keluarga berpendapatan rendah yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di dalam atau luar negara.

“Sehingga kini YWP telah membantu seramai 4,300 pelajar di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dengan nilai bantuan keseluruhan sebanyak RM3.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran YWP.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun.

Pada majlis tersebut, seramai 15 orang pelajar telah menerima Bantuan Awal ke IPT tersebut mengikut peringkat pengajian masing-masing yang disampaikan oleh Annuar.

Beliau yang juga Pengerusi YWP berkata, YWP turut menyampaikan sumbangan bagi Program Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah di Wilayah Persekutuan yang bernilai RM2.5 juta.

“Program ini merupakan bantuan pemakanan yang diberi secara harian, bernilai RM5 kepada 2,500 orang murid sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Program ini telah bermula sejak tahun 2015 yang melibatkan seramai 10,000 murid dengan jumlah sumbangan sehingga kini berjumlah RM10 juta,” katanya.

Annuar berkata, YWP turut menyampaikan sumbangan Skim Biasiswa Khas Anak Wilayah berjumlah RM1 juta.

“Biasiswa ini adalah untuk anak-anak dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5 dengan kadar bermula RM960 hingga RM2,000 setahun, untuk anak-anak sekolah menengah di Wilayah Persekutuan yang cemerlang dari keluarga yang berpendapatan rendah.

“Sehingga kini hampir 4,000 pelajar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan telah menerima manfaat daripada program ini dengan nilai bantuan keseluruhan sebanyak RM5.5 juta,” katanya.

Menurut Annuar, sebagai sebuah organisasi yang komited dalam YWP sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membantu golongan B40 dan warga Wilayah Persekutuan yang tidak berkemampuan melalui aktiviti atau program pembangunan Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi.

“YWP juga pernah menerima penghargaan di peringkat Kebangsaan dari PTPTN, sebagai salah satu “Penyumbang Deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)1M Terbesar tahun 2017,” katanya.

Ujarnya lagi, YWP juga turut menyalurkan hasil perniagaan dengan memberi bantuan kepada golongan B40 dan warga Wilayah Persekutuan yang tidak berkemampuan melalui aktiviti atau program pembangunan Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi.

“Antara daripada bantuan yang diberikan adalah Bantuan Bencana, Skim Khairat Kematian (Skim Prihatin Wilayah Persekutuan), Bantuan Khas COVID19 – MYBERAS, Bantuan Khas Perniagaan, Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota, serta sumbangan perayaan.

“Salah satu program yang telah memberikan impak yang besar kepada Wilayah Persekutuan pada tahun ini adalah Program MYBERAS@Wilayah yang melibatkan pemberian 5,750 beras 5kg setiap minggu kepada warga Wilayah Persekutuan, telah bermula pada 1 Februari 2021 bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin,” ujarnya.

MYBERAS@Wilayah ini merupakan inisiatif dan ilham daripada Tan Sri TPr Annuar Musa sendiri bagi meringankan beban warga Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Sehingga kini, hampir RM1juta telah dibelanjakan bagi sumbangan beras ini.-WILAYAHKU -AZLAN ZAMBRY

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas