Berita

LISC 2024 tawar hadiah RM278,390

- Diterbit 22 April 2024 2:05 PM MYT

PENGANJURAN Labuan International Sea Challenge (LISC) 2024 bakal bermula 23 hingga 28 April ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM278,390 kepada para peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL), Rithuan Mohd Ismail berkata pihaknya menjangkakan penganjuran program tahunan itu bakal menarik kehadiran lebih 30,000 pengunjung.

“LISC 2024 yang dijadual berlangsung selama enam hari akan mempertandingkan 17 acara akan dipertandingkan termasuklah Cabaran Memancing Laut Dalam (DAIWA Deep Sea Challenge) dan Cabaran Kayak Mengelilingi Pulau yang menawarkan hadiah sebanyak RM126,300.

“Venue utama penganjuran LISC 2024 itu pula akan diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dilihat mampu menarik pengunjung luar khususnya penggemar aktiviti sukan laut dan pantai.,” katanya.

Rithuan berkata, menerusi penganjuran tersebut, pihaknya akan memperkenalkan tiga acara baharu iaitu Coastal Ninja Warrior, Regatta LISC, dan Glamping LISC.

“Penambahan acara baharu ini bertujuan memperkenalkan kekayaan alam semula jadi dan keindahan pantai di sini sambil mempamerkan aktiviti air kepada pengunjung dan peserta luar,” katanya.

Beliau turut berharap agensi kerajaan, swasta, pengusaha hotel, agen pelancongan dan premis perniagaan memberikan komitmen menjayakan LISC 2024.

“Kita harap para peniaga dan hotel tidak menaikkan harga kepada pengunjung luar dan warga tempatan kerana kita mahu rancakkan semula ekonomi dan sektor pelancongan tempatan,” katanya.

Penganjuran LISC 2024 ynag memasuki edisi ke-26 itu  turut menyediakan akitiviti berkuda di pesisir pantai dan perasmian penutup oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustaffa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas