Utama

Datuk Bandar KL tinjau keadaan rumah mangsa ribut di Sentul

|
- Diterbit 7 Mei 2021 6:29 AM MYT

DATUK  Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah turun padang pagi Jumaat bagi meninjau keadaan di Pangsapuri Bandar Baru Sentul yang mengalami kerosakan bumbung akibat ribut dan hujan lebat yang berlaku petang semalam.

Beliau turut bertemu dengan penghuni kediaman yang terlibat dalam bencana tersebut di penempatan sementara mereka serta menzahirkan rasa simpati dan berkata pihak DBKL akan segera membaiki segala kerosakan yang telah berlaku demi keselesaan serta keselamatan penduduk pangsapuri itu.

Beberapa unit rumah mengalami kerosakan dan beberapa buah kenderaan juga turut dihempap serpihan bumbung akibat hujan lebat beserta ribut itu.

Mahadi berkata sejurus selepas kejadian, Skuad Penyelamat DBKL telah memberi bantuan awal dengan mengawal kawasan yang terlibat dan pihak DBKL sedang menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Wilayahku difahamkan semua mangsa ribut di Blok 75 pangsapuri tersebut telah ditempatkan di dewan komuniti berhampiran.

Kejadian ribut petang Khamis itu menyebabkan banyak kemusnahan termasuk pokok tumbang, kediaman dan kenderaan rosak di sekitar Sentul dan Setapak.– WILAYAHKU – DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas