Berita

YaPEIM lancar tabung bantu Zoo Negara

KUTIPAN sumbangan akan disalur kepada pengurusan zoo untuk membiayai kos menjaga dan memulihara haiwan-haiwan yang sedia ada. KUTIPAN sumbangan akan disalur kepada pengurusan zoO untuk membiayai kos menjaga dan memulihara haiwan-haiwan yang sedia ada.
- Diterbit 4 Disember 2020 3:09 AM MYT

PRIHATIN dengan hidupan haiwan di Zoo Negara kini berdepan masalah pemuliharaan disebabkan kekangan kewangan, mendorong pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tampil membantu.

Inisiatif dilaksana oleh Ar Rahnu YaPEIM dengan melancar Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan Zoo Negara, bagi mengumpul kutipan bermula 2 Disember sehingga 28 Februari depan, bertujuan meringankan kewangan pengurusan Zoo Negara.

Menurut Pemangku Ketua Pengarahnya, Parihah Hassan, kutipan sumbangan akan disalur kepada pengurusan zoo untuk membiayai kos menjaga dan memulihara haiwan-haiwan yang sedia ada.

Katanya, orang ramai boleh salurkan sumbangan ikhlas ke dalam tabung tersedia di kesemua 203 cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh Malaysia selama tiga bulan berakhir 28 Februari, sebelum kutipan diserah kepada pengurusan Zoo Negara.

“Pihak YaPEIM ambil maklum mengenai situasi penularan pandemik COVID-19 yang memberikan impak menyeluruh bukan sahaja ekonomi, sosial dan pendidikan malah juga sektor pelancongan seperti Zoo Negara yang sebelumnya jadi antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

“Jadi, dengan situasi semasa telah menyebabkan operasi Zoo Negara terjejas dan kesannya telah memberi impak kepada hidupan haiwan-haiwan di sana yang memerlukan penjagaan secara rutin termasuk makanan dan pemuliharaan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Media sebelum ini turut melaporkan kos operasi ditanggung Zoo Negara secara purata mencecah RM1 juta sebulan meliputi gaji kakitangan iaitu RM400,000, keperluan makanan (RM350,000), bil elektrik (RM140,000) dan bil air RM40,000.

Atas keprihatinan itu, kata Parihah YaPEIM telah tampil lancarkan ‘Tabung Bantuan Pemuliharaan Haiwan’ Zoo Negara sebagai salah satu inisiatif prihatin untuk bersama menyumbang dana serta memastikan kelangsungan operasi Zoo Negara.

“YaPEIM berharap usaha ini mendapat sambutan masyarakat dan para pencinta haiwan sekali gus meringankan beban pengurusan Zoo Negara dan menjamin kelangsungan hidup haiwan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas