Berita

Digantung tak bertali, Emosi penduduk Razakmas 2 terseksa

PENDUDUK Razakmas 2 menunjukkan cerucuk yang ditanam untuk pembinaan semula PA yang dijanjikan. Namun kini, ia dinaiki semak.
- Diterbit 4 Disember 2020 3:26 AM MYT

IBARAT digantung tidak bertali. Itulah keadaan yang membelenggu penduduk di empat kawasan Perumahan Awam di Bandar Tun Razak yang melibatkan 5,600 penduduk yang telah dijanjikan rumah baharu melalui projek pembangunan semula yang dirancang sejak 10 tahun lalu masih lagi menjadi tanda tanya.

Lebih memeritkan lagi, rumah yang didiami ketika ini pula semakin usang dan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) enggan melaksanakan kerjakerja penyelenggaraan dan membaiki kerosakan atas alasan mereka akan dipindahkan dan rumah tersebut akan dirobohkan.

Rata-rata penduduk yang sudah bergelar warga emas sukar baginya merancang masa depan selain tiada keupayaan untuk membeli rumah baharu kerana sukar untuk mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.

Kegembiraan 395 penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Labuan yang menerima surat tawaran Residensi Razakmas 2 baru-baru ini serta bakal memasuki ke rumah baharu menjentik perasaan kira-kira 5,600 penduduk dari beberapa PA sekitar Bandar Tun Razak yang turut dijanjikan dengan projek yang sama.

Mereka juga terlibat dengan projek pembangunan semula yang melibatkan kawasan PA Seri Melaka, PA Seri
Johor, PA Seri Pulau Pinang dan PA Ikan Emas masih menaruh harapan untuk menduduki rumah baharu ekoran rumah yang didiami semakin uzur dan tidak selesa.

MOKHTAR

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak PA Taman Ikan Emas, Mokhtar Yunus berkata, penduduk di
kawasan perumahan awam yang terlibat tertanya-tanya mengenai status terkini projek perumahan apabila ia terhenti sejak tiga tahun lalu.

“Perjanjian asal yang telah dipersetujui oleh semua penduduk apabila dijanjikan pemaju, Retro Highland Sdn
Bhd, anak syarikat SP Setia Berhad akan membina rumah dahulu tanpa perlu penduduk berpindah dan jumlah unit yang terlibat berpandukan senarai nama yang dikeluarkan oleh pihak DBKL menerusi hasil bancian yang dijalankan oleh persatuan penduduk di PA masing-masing.

“Bangunan yang berketinggian 50 tingkat akan menempatkan rumah dan lot parkir, manakala harga yang ditawarkan kepada penduduk adalah RM28,000 dengan keluasan rumah kira-kira 850 kaki persegi dan ia sepatutnya dijadualkan siap bersama projek Residensi Razakmas 2 kerana rancangan pembangunan semula itu dibincang dan dilaksanakan serentak,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

KEADAAN rumah yang telah uzur dan rosak memerlukan penyelenggaraan daripada pihak DBKL bagi memastikan keselamatan penghuni di sini.

Mokhtar berkata, sejak daripada peringkat awal projek itu mahu dimulakan, beliau dan lima lagi Pengerusi Persatuan Penduduk PA sering dipanggil untuk bermesyuarat dengan pihak kerajaan.

“Untuk rekod, projek ini akan dibangunkan dengan dua fasa yang melibatkan PA Seri Melaka melibatkan enam blok, PA Ikan Emas dan PA Seri Pulau Pinang.

“Pembangunan Fasa Kedua pula melibatkan PA Seri Melaka melibatkan lapan buah blok, PA Seri Johor dan Rumah Panjang Ikan Emas.

“Malah, kami turut pernah menerima surat tawaran menduduki rumah yang disampaikan sendiri oleh bekas
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada tahun 2012,” katanya.

JOHAN

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Melaka, Johan Said berkata, pihaknya telah mendapat jaminan daripada Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan (JPEP) DBKL, Zulkifli Muhammad bahawa projek tersebut akan disambung semula pada November atau selewat-lewatnya Mac 2021
bagi mengelakkan pemaju dikenakan denda lewat kerja.

“Apa yang menghairankan, sehingga kini tiada sebarang aktiviti di atas tapak malah pihak pemaju juga tidak
menghubungi beliau ataupun mana-mana pengerusi persatuan penduduk untuk memaklumkan perkara tersebut.

“Projek ini dimulakan semasa Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjadi menteri dan persatuan telah
menyatakan persetujuan mengenai projek tersebut.

“Pada peringkat awal pihak pemaju hendak membina rumah transit dan penduduk akan ditempatkan di situ sebelum rumah yang dijanjikan itu siap.

“Apabila berlaku perubahan kabinet yang menyaksikan pertukaran Menteri Wilayah Persekutuan kepada Tengku
Adnan, rumah transit tidak dibina sebaliknya pemaju akan membina rumah sehingga siap dan penduduk akan berpindah ke sana,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas