Berita

Ibu bapa sukar sediakan keperluan sesi persekolahan 2021

SERAGAM sekolah dilihat sebagai salah satu langkah untuk mendisiplinkan murid.
- Diterbit 4 Disember 2020 3:06 AM MYT

SETIAP kali hujung tahun, ibu bapa pasti runsing memikirkan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Malah, tinjauan Wilayahku ke beberapa sekolah di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati, ada antara sekolah sudah memulakan persiapan untuk sesi persekolahan tahun 2021 walaupun masih belum tahu bila sesi persekolah akan bermula.

Namun begitu, ramai ibu bapa yang resah kerana mereka tidak mampu menyediakan kelengkapan utama persekolahan seperti pakaian seragam berikutan keadaan ekonomi semasa dan kekangan kewangan akibat pandemik COVID-19.

Menurut pengusaha restoran, Hiekal Rosli, 39, dia berharap kerajaan akan mempertimbangkan keresahan ibu bapa yang banyak terjejas akibat wabak ini.

“Pendidikan itu penting, tiada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka tercicir dalan pelajaran namun ia mungkin berlaku jika mereka tidak mampu menyediakan keperluan asas pendidikan di negara ini,” katanya kepada Wilayahku di sini hari ini.

Ujar Hiekal, ibu bapa faham dengan keperluan seragam sekolah yang bertujuan memupuk displin dalam diri anak-anak tetapi kerajaan perlu juga melihat secara menyeluruh berhubung perkara ini.

“Saya mempunyai tiga orang anak yang bersekolah tahun hadapan, masing berumur 12, 10 dan 7 tahun.

“Setiap seorang anak perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat pasang seragam lengkap untuk sesi persekolah akademik dan aliran agama (Kafa), ditambah sepasang lagi seragam sukan untuk setiap seorang. Ini belum lagi mengambil kira seragam badan beruniform yang diwajibkan kepada pelajar tahun empat ke atas,” katanya.

Katanya, sepasang seluar sekolah rendah pelajar lelaki berharga antara RM18 hingga RM32, manakala kemeja pula berharga antara RM12 hingga RM28 sehelai yang mana ia tidak termasuk perbelanjaan kasut, stokin, samping, songkok dan tudung bagi pelajar perempuan.

Sementara itu, Ku Noor Ammarah Ku Amir, 27, berkata, Kementerian Pendidikan boleh mempertimbangkan untuk membenarkan pelajar ke sekolah dengan pakaian sukan asalkan mereka dapat manfaat ilmu daripada guru-guru.

“Bukan kami minta kebebasan berpakaian, cuma sedikit pertimbangan melonggarkan syarat dan mengubah kepentingan persekolahan daripada seragam sekolah kepada menimba ilmu,” katanya yang bakal menghantar anaknya ke pra sekolah di sini.

SERAGAM bagi kelas KAFA turut diwajibkan berbanding dahulu yang hanya membenarkan murid berpakaian sopan seperti baju kurung dan baju Melayu.

Seorang lagi bapa, Jasrizal Noer Helmy, 42, berkata, beliau amat resah memikiran persiapan persekolahan anak-anaknya selepas hilang pekerjaan pada Oktober lalu.

Dia berpendapat, baju sukan sekolah boleh dijadikan seragam utama bagi  sekolah harian manakala mereka yang bersekolah di asrama penuh pula boleh mengenakan seragam sekolah formal.

“Mana mungkin saya mampu sediakan seragam sekolah anak-anak saya yang setiap pasang berharga sekitar RM60 dan saya perlu menyediakan lapan pasang untuk semua anak saya. Mana lagi kos bas sekolah, buku tambahan, yuran sekolah, yuran PIBG, yuran kokurikulum dan lain-lain kelengkapan seperti alat tulis, beg sekolah dan sebagainya,” katanya.

Untuk makluman, sesi persekolahan 2020 hanya berlangsung beberapa bulan sebelum sekolah ditutup pada Mac lalu akibat COVID-19.

Walaupun ia kemudian dibuka pada Julai, namun kembali ditutup pada Oktober sehingga kini.

Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi persekolahan 2021 akan bermula 20 Januari tahun hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas