Berita

WiPers terima ‘durian runtuh’ RM 1.096 juta

ROSIDA (tengah) bersama atlet WiPers yang berjaya memperoleh pingat pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 ketika Majlis Penyampaian Insentif Atlet & Jurulatih Wilayah Persekutuan 2022 yang diadakan semalam.
- Diterbit 4 November 2022 4:46 AM MYT

SEBANYAK RM1.096 juta insentif diberikan kepada barisan atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) yang menunjukkan aksi cemerlang di temasya dan kejohanan yang berlangsung sepanjang tahun ini.

Insentif yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar itu membabitkan pemberian sebanyak RM 115,000 buat kontinjen yang menyertai Sukan Komanwel Birmingham, Sukan SEA Hanoi (RM52,600), Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 (RM 905,600) serta RM22,500 bagi Kejohanan dalam dan luar negara.

Rosida berkata insentif tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada pengorbanan yang dilakukan atlet WiPers tanpa mengira sama ada masih berada di dalam program mahupun tidak.

“Mengimbau kembali pencapaian atlet Wilayah Persekutuan sepanjang tahun ini, saya gembira apabila ramai daripada atlet WiPers berjaya mengharumkan nama Wilayah Persekutuan dan Malaysia di pelbagai kejohanan serta temasya tempatan dan antarabangsa,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Atlet & Jurulatih Wilayah Persekutuan 2022 semalam.

Rosida berkata tahun ini juga SUKMA kembali diadakan selepas empat tahun tidak dianjurkan dan menyaksikan kontinjen WiPers meraih tempat ketiga dengan pungutan pingat 55 emas, 68 perak serta 64 gangsa.

Tambahnya lebih membanggakan apabila sebanyak tiga rekod baharu kebangsaan berjaya direkodkan dalam sukan renang acara 100 meter kuak kupu-kupu lelaki dan dua lagi menerusi sukan kanu iaitu acara K2 500 meter wanita serta K4 500 meter lelaki.

“Sebagai Ketua Kontinjen pada Sukma ke-20 ini, saya melihat sendiri usaha dan kesungguhan dipamerkan setiap atlet WiPers yang turut serta pada temasya ini, namun nasib tidak menyebelahi kita apabila tidak dapat mencapai sasaran untuk muncul juara.

“Saya yakin atlet WiPers akan bangkit dan berusaha berlipat kali ganda bagi sama-sama berjuang mencipta kejayaan lebih gemilang pada SUKMA akan datang,” kata Rosida.

Terdahulu Majlis Penyampaian Insentif Atlet & Jurulatih Wilayah Persekutuan 2022 telah diadakan di Dewan Seri Siantan, Putrajaya melibatkan sebanyak 358 atlet dan jurulatih. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas