Berita

36 jemaah umrah terkandas selamat tiba pagi tadi

SEBAHAGIAN daripada 36 jemaah umrah dari Arab Saudi yang tiba jam 5.50 pagi tadi menjalani proses soal siasat di KLIA sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
- Diterbit 4 November 2022 5:13 AM MYT

KUMPULAN pertama 36 daripada 63 orang jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun 2022 telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Kementerian Luar Negeri (MOFA) dalam kenyataan berkata kumpulan pertama itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dekat sini pukul 5.50 pagi tadi dengan Malaysia Airlines penerbangan MH153.

“Baki 27 orang jemaah lagi akan dibawa pulang menerusi penerbangan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, pesawat model Airbus 333 tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad Abdulaziz, Madinah pukul 3.58 petang waktu tempatan semalam.

Menjelas lanjut, Wisma Putra berkata urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Ini adalah untuk memelihara hubungan dua hala yang akrab di antara Malaysia dengan Arab Saudi, dan keistimewaan yang telah diberikan kepada Malaysia seperti kemudahan Visa Pelancong yang hanya diberikan kepada 49 buah negara sahaja,” katanya.

Ujarnya, Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam membantu usaha ini.

Wisma Putra menegaskan bahawa kerajaan kekal komited untuk memastikan keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara melalui bantuan konsular berdasarkan kepada Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963.

Kenyataan itu turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas