Berita

Pelajar UiTM raih dua Anugerah CommFest: Loka Teja

IRFAN (dua kanan) bersama ahli keluarganya yang turut hadir pada ProgramCommFest: Loka Teja baru-baru ini.
- Diterbit 4 November 2022 4:16 AM MYT

MENGUNGGULI dua anugerah dalam pertandingan Rekaan Pakaian pada program CommFest: Loka Teja baru-baru ini, pelajar jurusan seni rekaan pakaian dan jahitan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Raja Muhammad Irfan Raja Muhammad Reduan, 23, menganggap kemenangan itu sebagai titik permulaannya untuk berkarya dalam industri fesyen Malaysia.

Mempamerkan lima rekaan baju moden futuristik, Raja Muhammad Irfan dinobatkan sebagai johan kategori Pertandingan Rekaan Pakaian Moden Futuristik serta dipilih sebagai pemenang Anugerah Khas Pakaian Terbaik Pilihan Juri.

Katanya, ini adalah platform terbaik buat pereka muda sepertinya menimba pengalaman dan mengasah bakat dalam menghasilkan rekaan pakaian yang berkualiti serta kreatif selaras dengan tema futuristik.

“Kemenangan ini adalah penghargaan besar buat saya sebagai pereka muda yang mahu menceburi industri fesyen suatu hari nanti. Inilah masa terbaik untuk saya pamerkan hasil rekaan ‘Raja Irfan’ kepada orang ramai.

“Sememangnya banyak lagi yang saya perlu pelajari dan tambah baik terutama dalam menghasilkan pelbagai rekaan setanding fesyen semasa,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Program Commfest: Loka Teja yang berlangsung pada 29 Oktober di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Penasihat Projek CommFest: Loka Teja, Aida Suhana Abdul Hamid berkata, program tersebut memberi pendedahan
baharu buat pelajar Komunikasi Korporat mengendalikan sebuah pertunjukan fesyen selain memberi keyakinan kepada pelajar memperagakan koleksi rekaan mereka dikhalayak ramai.

Insya-Allah, jika diberi peluang Loka Teja akan diteruskan pada masa hadapan seiring dengan cadangan yang diutarakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman yang mengharapkan jurusan fesyen dibuka di Kolej Universiti Poly-tech MARA Kuala Lumpur (KUPTM KL),” jelasnya yang juga merupakan pensyarah di KUPTM KL.

Terdahulu, program anjuran 29 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat, KUPTM KL ini melibatkan 16 peserta dalam kalangan pelajar jurusan seni rekaan pakaian dan jahitan dari tujuh universiti tempatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas