Berita

Wilayah bebas berniaga cegah jenayah

Shiha Zikir
- Diterbit 20 November 2020 7:50 AM MYT

KHABAR gembira buat semua warga Wilayah Persekutuan apabila Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa, membenarkan mereka berniaga untuk menjana pendapatan akibat COVID-19.

Annuar sebelum ini mengumumkan Wilayah Persekutuan sebagai Wilayah Bebas Berniaga (WIBB) selama enam bulan bermula Ahad
lalu.

Bagi pelantun lagu AEWO, Shiha Zikir, 33, WIBB bukan sahaja boleh membantu rakyat berniaga, malah pelaksanaan ini juga dilihat mampu mengurangkan kadar jenayah.

“Apa yang saya tahu, kadar jenayah semakin menurun semenjak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini kerana pihak berkuasa seperti polis telah meningkatkan jumlah
sekatan jalan raya dan melakukan rondaan secara menyeluruh. Jadi pergerakan masyarakat terkawal.

“Bagi saya, WIBB juga mampu cegah jenayah apabila rakyat mula diberikan ruang untuk berniaga setelah ramai yang terjejas pendapatan,” ujar Shiha.

Tambahnya lagi, peluang tersebut sedikit sebanyak mengurangkan tekanan sekali gus kecenderungan untuk melakukan jenayah juga akan
berkurang.

“Seperti yang kita tahu, tekanan disebabkan tiada sumber pendapatan
boleh menjadi punca jenayah seperti mencuri, merompak, keganasan rumah tangga dan sebagainya.

“Manfaatkanlah peluang yang ada untuk memperbaiki kehidupan kerana kita tidak tahu bila berakhirnya COVID-19. Selagi kita tidak menemui vaksin, virus ini akan terus mengancam nyawa kita,” nasihatnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas