Berita

Galakan untuk anak muda berniaga

- Diterbit 20 November 2020 7:46 AM MYT

INISIATIF Usahawan Anak Muda Kota yang digagaskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) disambut baik orang ramai kerana menawarkan peluang perniagaan bagi golongan belia khas di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menurut Mohd Aizat Mohamed, 35, menjadi antara kumpulan pertama yang ditawarkan peluang menyertai Usahawan Anak Muda Kota, beliau menyifatkan ia sebagai galakan untuk memajukan lagi perniagaannya yang sebelum ini menjalankan aktiviti jualan di hadapan rumah.

“Saya telah memulakan perniagaan menjual burger di depan rumah sahaja sejak lima tahun lalu. Apabila mengetahui mengenai program ini, saya terus mendaftar melalui laman sesawang yang disediakan oleh pihak KWP.

“Setelah menunggu hampir dua bulan, saya akhirnya dihubungi oleh pihak urusetia dan menyampaikan berita gembira ini,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Mohd Aizat berkata, penantian selama dua bulan itu disambut dengan penuh kesyukuran kerana memperolehi peluang berniaga di tengah bandaraya yang sememangnya menjadi impian semua orang terutama golongan muda sepertinya.

“Saya menyedari dengan peluang yang diberikan ini dapat memajukan lagi perniagaan walaupun orang ramai masih belum mengetahui mengenai kewujudan kios ini.

“Untuk mengatasi masalah ini, saya akan lakukan pemasaran melalui media sosial selain akan menggunakan aplikasi GrabFood dan Food Panda untuk dalam menambah perkhidmatan perniagaan ini,” katanya.

Beliau yang menjalankan perniagaan secara sepenuh masa berkata kios tersebut di sewa dengan DBKL dengan kadar RM450 sebulan.

“Melalui program ini dan keadaan ekonomi yang agak perlahan, DBKL telah memberikan diskaun 50 peratus untuk tempoh setahun.

“Selepas itu, ia bergantung kepada budi bicara DBKL dan kontrak pula akan dinilai dari semasa ke semasa,” katanya.

Peniaga, Nor Hazlira Zainal Abidin, 45, menyifatkan kemudahan tempat berniaga yang disediakan menerusi program terbabit amat baik dan membantu menarik lebih ramai pelanggan.

Beliau yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman segera berkata, lokasi tempat berniaga itu strategik kerana terletak di tengah bandaraya selain menjadi laluan orang ramai terutama pelancong.

“Saya pernah berniaga di tapak sama sebelum ini dan kemudahan yang disediakan berbeza berbanding dahulu. Jika dahulu, saya terpaksa mengehadkan waktu perniagaan kerana kekurangan sumber bekalan air tetapi kini, kemudahan yang disediakan amat lengkap,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas