Berita

WHO nasihat Malaysia siap sedia hadapi kemungkinan wabak tersebar lebih luas

DZULKEFLY (tengah) ketika sesi sidang media berkenaan Situasi Terkini Jangkitan 2019-nCoV di bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia dekat Putajaya di sini hari ini.
- Diterbit 12 Februari 2020 2:51 PM MYT

PUTRAJAYA – Pengarah Bagi Rantau Pasifik Barat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Takeshi Kasai mengeluarkan kenyataan menasihatkan Kerajaan Malaysia untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya penyebaran wabak yang lebih luas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kenyataan itu mungkin akan menyebabkan berlakunya kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kementerian Kesihatan (KMM) menghargai kenyataan yang dikeluarkan WHO dan berpandangan ia adalah satu saranan kepada Malaysia agar membuat kesiapsiagaan lebih awal dalam menghadapi kemungkinan penularan wabak COVID-19 yang lebih luas di dalam negara.

“Berdasarkan penilaian KKM sehingga hari ini, situasi jangkitan COVID-19 masih dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, KKM juga bersedia dan terus memperkukuhkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan memasuki fasa seterusnya iaitu tahap pembendungan akhir (late containment) dan tahap mitigasi (mitigation).

Sehingga hari ini situasi jangkitan COVID-19 di negara ini sedang ditangani bersama oleh KKM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta melibatkan berbagai kementerian dan agensi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas