Berita

1 DARIPADA 6 TAPAK GEOLOGI BERUSIA 15 JUTA TAHUN, LABUAN BAKAL SETANDING LANGKAWI

||||||
- Diterbit 12 Februari 2020 12:00 PM MYT

BARU-BARU ini, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menemui enam lokasi tapak geologi yang salah satunya dianggarkan berusia 15 juta tahun.

Lokasi tapak geologi bernilai tinggi itu secara tidak langsung melayakkan Labuan diisytiharkan sebagai geopark kebangsaan sekali gus berpotengsi menjadi tapak pelancongan baharu selain dijadikan tempat penyelidikan dan pendidikan seperti Pulau Langkawi, Kedah.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) juga sudah mempunyai visi untuk menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau pelancongan terkenal sebagaimana Langkawi.

Enam lokasi tapak Geopark yang didedahkan Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan ialah:

1. PANTAI TANJUNG BATU

Dikatakan batuan di pesisir pantai itu mempunyai bentuk seperti otak yang sangat sempurna dan cantik akibat hakisan ombak serta aktiviti hakisan pesisir.

Memandangkan Pantai Tanjung Batu merupakan kawasan tumpuan orang ramai, admin rasa pihak bertanggungjawab perlu menaikkan papan tanda larangan kepada orang awam supaya tidak memijak atau menconteng batuan yang terdapat di pesisir kerana ia semakin terancam.


2. LALUAN PEJALAN KAKI MUZIUM CHIMNEY

Merupakan muzium yang dibina bagi memperingati aktiviti perlombongan arang batu di zaman Colonial pada tahun 1884 hingga 1946.

Lingkaran laluan pejalan kaki dari muzium hingga ke Tanjung Kubong sememangnya menjadi tumpuan orang ramai beriadah.

Sepanjang laluan tersebut, terdapat pelbagai jenis tumbuhan dan juga Gudang Ubat lama yang digunakan untuk menyimpan ubat peluru suatu ketika dahulu.

Nampaknya kawasan sekitar Muzium Chimney hingga ke Tanjung Kubong perlu lebih diselenggara memandangkan kawasan sekitarnya begitu cantik dan sesuai untuk aktiviti pelancongan kerana penoramanya yang menghadap laut.


3. KAMPUNG GANGGARAK DAN LUBUK TEMIANG

Memiliki kesan minyak dan gas yang masih segar pada bahagian dinding bukit yang ditarah untuk kerja pembinaan jalan raya dan perumahan.

Untung orang Kampung Ganggarak selepas ini kerana ramai pelancong dan pengkaji akan datang ke kawasan kampung. Ia boleh menjadi sumber pendapatan baharu pada penduduk selepas ini.

4. TANJUNG LAYANG-LAYANGAN

Kawasan dinding berbatu yang mengandungi unsur-unsur batu arang yang bercampur dengan batu pasir dan membentuk corak serta lapisan yang cantik dan unik.

Selepas ini pasti makin ramai yang mengunjunggi pantai dan Tanjung Layang-Layangan hanya untuk bergambar dengan batu-batuan yang cantik.

5. KAMPUNG BEBULOH DARAT

Terdapat tiga kawasan pemotongan bukit yang mempamerkan kesan fosil surih iaitu kesan jejak yang dibuat haiwan sejak ratusan tahun dahulu dan ianya masih kelihatan segar dan sempurna.

Nampaknya pihak bertanggungjawab perlu naikkan papan tanda penerangan apa itu fosil surih (jejak haiwan) kerana haiwan ratusan tahun dahulu telah pupus dan ramai yang tidak mengenalinya.

6. TANJUNG KIAMSAM

Taman Laut yang dapat dilihat dengan mata kasar, kini berada di Tanjung Kiamsam. Batuan yang terdapat di pesisir pantai adalah kesan daripada hasil mendapan laut satu ketika dahulu.

Apa yang admin lihat Tanjung Kiamsam sangat berpotensi untuk dimajukan kerana airnya juga jernih dan pemandanganya juga sangat cantik serta belum tercemar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas