Berita

Wanita dan belia ejen KPDN penyaluran maklumat kepenggunaan

FUZIAH ketika berucap semasa Sesi Dialog Bersama NGO Kepenggunaan Wanita dan Gerakan Belia Siswa.
- Diterbit 10 Mac 2023 3:09 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasrat menjadikan golongan wanita dan belia sebagai ejen dalam menyampaikan maklumat kepenggunaan kepada masyarakat bagi memperkasakan pengguna bijak.

Timbalan Menterinya, Senator Fuziah Salleh berkata golongan wanita dan belia perlu mendaya upayakan pengguna melalui perkongsian ilmu, menyebar luas dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan wanita dan belia melalui pendekatan baharu yang bersepadu dalam aspek berkaitan kepenggunaan dan peranan wanita serta belia.

“Ini bagi memberikan pendedahan tentang kepenggunaan di dalam usaha melahirkan generasi pengguna yang cakna akan hak masing-masing di dalam transaksi jual beli terutama dalam membuat pilihan, cakna akan undang-undang berkaitan perniagaan.

“Hasrat kementerian adalah untuk menjadikan wanita dan belia sebagai rakan strategik secara langsung di lapangan dan seterusnya sebagai ejen penyampaian maklumat kepenggunaan kepada masyarakat di luar sana dalam memperkasakan pengguna bijak dan berdaya upaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Dialog Kepenggunaan Bersama NGO Kepenggunaan Wanita dan Gerakan Pengguna Siswa, di sini pada Khamis lalu. Pada majlis yang sama, Fuziah turut melancarkan Aduan Suri bagi peringkat Labuan.

KIRA-KIRA 200 orang menghadiri Sesi Dialog Kepenggunaan Bersama NGO bersama Timbalan Menteri KPDN di salah sebuah hotel pada Khamis lalu.

Beliau berkata menerusi pelancaran sistem itu menjadi satu mekanisme kepada pengadu untuk menyalurkan sebarang aduan yang ingin disampaikan dengan hanya mengimbas kod QR dan menyalurkan aduan menerusi aplikasi WhatsApp KPDN.

“Kementerian telah mengambil langkah untuk melancarkan semula saluran-saluran aduan kepenggunaan yang telah sedia ada dengan menambah baik sistem itu agar ianya mesra pengguna.

“Dengan sistem aduan serta dengan penjenamaan semula diharapkan agar memberi manfaat kepada seluruh rakyat dan ia perlu disebarluaskan.

“Sejak ia dilancarkan, sebanyak 1,422 aduan telah diterima sehingga Februari ini dan 666 pengadu adalah wanita,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas