Berita

Lapan warga asing ditahan pihak berkuasa Indonesia

- Diterbit 10 Mac 2023 12:53 PM MYT

SERAMAI lapan warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam serbuan di beberapa pangsapuri baru-baru ini, menurut Pejabat Imigresen Jakarta Selatan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada dua individu warga India dan Filipina yang memiliki permit sementara tamat tempoh, serta enam warga Nigeria atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal melebihi masa.

Dua daripada enam warga Nigeria memiliki visa pelaburan ditahan kerana gagal mengisytiharkan maklumat perniagaan, kata ketuanya Felucia Sengky Ratna dalam satu kenyataan.

Empat lagi dipercayai menjalankan operasi perniagaan makanan dalam kalangan diaspora mereka di pangsapuri di Pancoran dan Setiabudi.

“Kesemua warga asing itu ditahan sementara menunggu penghantaran pulang,” kata Felucia.

Beliau menegaskan bahawa operasi ini dijalankan dengan kerjasama Pasukan Pemantauan Warga Asing Jakarta Selatan, dan mencerminkan tindakan tegas pihak berkuasa terhadap pesalah imigresen.

“Kami berdedikasi untuk mengekalkan keselamatan dan menjadikan bandar lebih kondusif,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas