Selebriti

Letak batas elak curang

- Diterbit 22 April 2024 3:54 PM MYT

SEJAK akhir-akhir ini kecoh isu orang ketiga yang menjadi punca keretakan dan kepincangan dalam perkahwinan. Mahu atau tidak, hakikat yang perlu diterima ia merupakan realiti dalam masyarakat dan boleh berlaku kepada mana-mana pasangan.

Mengulas tentang hal tersebut, penyanyi Ernie Zakri berkata mereka yang sudah berkahwin seharusnya bijak menjaga pergaulan dengan orang luar bagi mengelak perkara tersebut berlaku.

“Sejujurnya saya pun tak tahu apa yang bakal saya lakukan jika berdepan perkara-perkara sebegitu tapi insya-Allah, moga ia dijauhkan.

“Kita sebagai isteri orang perlu tunjukkan status tersebut supaya orang tahu. Selain itu, letakkan batasan dari segi percakapan, intonasi dan sebagainya sebab dia bukan suami kita. Walaupun kawan rapat atau sebagainya tapi ingat ada hati yang perlu dijaga,” ujarnya.

Ernie ditemui pada Majlis Pelancaran Koleksi Tudung Ernie Zakri X Ayuwan di ibu negara, baru-baru ini.

Sementara itu, Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, yang juga isteri kepada penyanyi Syamel berkata, isu orang ketiga ini bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan suami isteri, malah ia turut mengganggu emosi anak-anak.

“Siapa sahaja wanita suka diduakan? Ada tapi dia rare species, sama juga wanita yang suka disondol. Kalau ikut pandangan saya, saya akan menentang siapa yang sondol-menyondol! Sebab kita ada anak dan kita tak tahu berapa banyak hati yang telah dilukai.

“Kita tak tahu apa akan terjadi seperti sekiranya anak trauma. Kita tak tahu kehidupan mereka bimbang apabila dah besar nanti akan jadi seperti ibu bapa mereka juga.

“Sebagai seorang ibu tak mahu sedikit pun perkara negatif masuk ke dalam minda mereka. Itu yang mampu saya katakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, lagu Masing-Masing nyanyian Ernie mendapat sambutan di luar jangkaannya.

Untuk itu, Ernie mengaku lebih bersemangat untuk muncul dengan lagu bergenre galau jika mendapat permintaan daripada peminat.

“Lagu galau ni sangat istimewa di hati peminat di Malaysia. Sampai sekarang ada yang masih tidak tahu siapa penyanyi  lagu Masing-Masing.

“Sebab buang saya selalu nyanyi lagu bernada tinggi atau genre balada. Bila saya nyanyi lagu yang tenang dan galau, mereka tidak sangka saya yang nyanyikan.

“Ia bagus juga buat saya kerana dapat jalan berbeza dan pendengar yang berlainan. Sebelum ini orang tidak tahu Ernie Zakri tapi sekarang sudah tahu.

“Kalau mahu saya kekalkan konsep sebegitu, ia bergantung sekiranya banyak permintaan. Kalau ramai yang mahukan lagu galau saya akan mencari lagi,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas