Berita

UNITAR diiktiraf jenama institusi pendidikan pilihan Putra Brand Awards

- Diterbit 11 Februari 2021 3:04 AM MYT

UNIVERSITI Antarabangsa UNITAR (UNITAR) meraih penghargaan jenama tertinggi bagi sektor pendidikan dan pembelajaran selepas merangkul Anugerah Platinum Putra Brand Awards 2020 baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR Puvan Balanchandran dalam kenyataan hari ini berkata jenama UNITAR telah berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia sejak penubuhannya pada 1997 sebagai universiti maya pertama di Asia Tenggara yang menawarkan pembelajaran jarak jauh di pasaran yang sangat khusus ketika itu.

“Kuncinya adalah akses kepada semua – daripada penyelesaian pembelajaran inovatif yang dapat disampaikan kepada pelajar di mana sahaja mereka berada, hingga kepada kemampuan dan akses kepada sokongan kewangan untuk para pelajarnya melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau menyifatkan pencapaian itu seperti yang diundi oleh orang ramai, sebagai bukti kepercayaan rakyat terhadap jenama dan kejayaan UNITAR dalam penciptaan nilai untuk pelajar, rakan niaga dan pihak berkepentingan sambil memupuk warga negara employable dan global.

UNITAR turut menerima anugerah berganda apabila meraih anugerah berprestij, Most Enterprising Brand of the Year di Putra Brand Awards 2020.

Putra Brand Awards yang juga dikenali sebagai Anugerah Pilihan Rakyat merupakan satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang mengiktiraf jenama kegemaran Malaysia berdasarkan temu bual dan undian awam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas