Berita

UNHCR sedia kerjasama tangani isu Rohingya ketika PKPD

THOMAS ALBRECHT ketika hadir Pusat Gerakan PKPD Pasar Borong Kuala Lumpur petang tadi.
- Diterbit 21 April 2020 3:31 PM MYT

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Thomas Albrecht menyatakan kesanggupan untuk memberikan kerjasama kepada kerajaan bagi menangani masalah isu pelarian Rohingya terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pada masa ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, memandangkan golongan pelarian tersebut merupakan masalah khusus, kerajaan tidak boleh berurusan dengan mana-mana kedutaan asing melainkan perlu berunding bersama UNHCR.

“Mereka (UNHCR) telah memberikan kesanggupan untuk memberikan sepenuh kerjasama dan kita perlu melengkapkan data pelarian ini untuk kegunaan masa akan datang,” katanya kepada Wilayahku selepas Mesyuarat Penyelarasan di Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

RAMAI etnik Rohingya bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Annuar berkata, pihaknya belum mendapat angka yang muktamad kerana sedang mengumpulkan data berkaitan penduduk di kawasan itu.

“Cuma sekarang berdasarkan anggaran terdapat lebih 13,000 warga asing dan kebanyakannya adalah pelarian.

“Hanya kira-kira 2,000 warga tempatan dan kita akan dapat angka terperinci setelah saringan pengesanan Covid-19 yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Annuar memberitahu, ketika ini, pihak KKM mampu melaksanakan ujian saringan Covid-19 kira-kira 2,000  orang dalam masa sehari.

“Jumlah tepat penghuni di sini mungkin mengambil masa kira-kira empat atau lima hari dan kita dapat gambaran yang lebih jelas,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan yang akan dihulurkan oleh pihak UNHCR, Annuar berkata, perkara itu terpulang kepada mereka kerana kerajaan perlu terbuka kepada apa jua bentuk sumbangan yang akan diberikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas