Berita

Operasi ‘rahsia’ elak warga asing larikan diri

Jabatan Penguatkuasan DBKL hari ini.
- Diterbit 21 April 2020 3:55 PM MYT

KUALA LUMPUR – Arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur dan lokasi di sekitarnya dibuat secara ‘rahsia’ bagi mengelakkan penghuni di kawasan itu yang kebanyakannya warga asing bertindak melarikan diri.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Santhara berkata, perintah tersebut juga tidak dilakukan terburu-buru sebaliknya diputuskan selepas dua minggu pemantauan dan risikan dilakukan Kementerian Kesihatan (KMM), polis dan tentera.

SANTHARA pada sidang akhbar di CMC, Jabatan Penguatkuasan DBKL hari ini.

Katanya, tindakan secara senyap juga dilakukan  dengan mengambil  kira pengalaman pelaksanaan PKPD di kawasan Masjid India apabila ada di antara penghuni warga asing melarikan diri kerana khuatir ditahan pihak berkuasa.

“Berdasarkan pengalaman di Masjid India, kita telah perbaiki prosedur pelaksanaan PKPD di Selayang kerana keutamaan kita bukan publisiti sebaliknya untuk mengawal penularan wabak ini.

“Pada masa sama, kita tidak mahu mereka fikir kerajaan cuba mengepung dan hantar mereka pulang  sebaliknya ini adalah misi menyelamat sekali gus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pengurusan Krisis (CMC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, Panglima 12 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar dan Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Paramjeet Singh.

Santhara berkata, berdasarkan risikan, pihaknya yakin sekurang-kurangnya 95 peratus warga asing yang menetap di situ berada dalam kawasan PKPD.

Kata beliau lagi, pihak berkuasa  memberi kebenaran kepada beberapa peniaga untuk membawa keluar barangan basah masing-masing dari kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Terdapat beberapa peniaga yang mendakwa berhadapan kerugian selepas barangan basah seperti sayur, ikan dan daging yang mudah rosak dan tidak dapat dijual secepat mungkin berikutan maklumat pelaksanaan PKPD itu tidak dimaklumkan lebih awal.

“Saya juga telah mencadangkan alternatif dengan kita beli barangan basah mereka pada harga diskaun untuk diagihkan kepada penduduk dalam kawasan PKPD,” katanya.

Sementara itu, Marzuki berkata, seramai 10 pegawai dan 222 anggota lain-lain pangkat telah dikerah membantu menjalankan operasi pemantauan dan kawalan di kawasan itu.

“Kami juga telah memasang kawat duri di kawasan seluas 4.03 kilometer merangkumi kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, Taman Sri Murni Fasa 1, 2 dan 3 serta Taman Batu View bermula pukul 3.30 pagi dan mengambil masa tiga jam kemudian.

“Ia dibuat pada waktu tersebut setelah mengambil kira maklumat risikan di mana pekerja berada di rumah pada waktu itu,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas