Berita

Pastikan stok makanan mencukupi sampai Ramadan

ANGGOTA tentera mengawal di hadapan pangsapuri di Taman Sri Murni yang terletak berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur selepas kawasan tersebut dikenakan PKPD mulai semalam. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 21 April 2020 3:17 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membelanjakan kira-kira RM150, 000 sehari untuk menyediakan barangan makanan kepada penduduk yang di  kawasan di bawah Perintah Kawalan Diperketat (PKPD).

ANNUAR

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, buat masa ini pihaknya berjaya mengumpulkan RM1 juta yang pertama hasil sumbangan syarikat-syarikat dan individu di Malaysia.

“Kita sudah dapat RM1 juta yang pertama ini untuk uruskan bekalan untuk seminggu dan kita percaya akan dapat sumbangan-sumbangan yang lain.

“Bagi unjuran dalam tempoh dua minggu ini, kita perlukan hampir RM2 juta,” katanya kepada Wilayahku selepas Mesyuarat Penyelarasan di Pusat Pengurusan Krisis di Pasar Borong Kuala Lumpur disini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia, Thomas Albrecht; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim; Panglima 12 Briged, Kem Wardieburn, Brigadier Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berkata, beliau telah meminta untuk menambah baik sedikit lagi sistem bagi membolehkan orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pihak berkuasa dengan segera.

“Oleh kerana kita mempunyai stok (makanan) yang mencukupi dan bulan Ramadan sudah dekat, kita hendak memastikan (bekalan makanan) juadah berbuka dan bersahur mesti sampai ‘on-time’ termasuk makanan bermasak.

“Kita juga perlu memastikan keperluan petugas barisan hadapan turut dijaga dalam keadaan baik kerana boleh dikatakan petugas ini akan bekerja 24 jam pada bulan Ramadan nanti,” katanya.

KAWASAN rumah kedai yang dihuni penduduk etnik Rohingya dikawal ketat oleh anggota polis dan tentera.

Annuar berkata, mesyuarat itu juga adalah berkaitan dengan urusan logistik dan ia akan diselesaikan segera berhubung beberapa dakwaan yang timbul semalam.

“Terdapat dakwaan mengatakan banyak barangan tidak ada seperti susu, ubat-ubatan, tuala wanita dan susu formula kanak-kanak sehingga mendapat rungutan daripada penduduk,

“Namun ia sebenarnya adalah kejutan hari pertama dan segala-galanya telah diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau beliau, kerajaan akan memastikan sumber bekalan adalah mencukupi termasuk bahan-bahan mentah dan barang makanan

“Untuk rakyat tempatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah membuat persiapan dan ia perlu dipertingkatkan sedikit lagi,

“Uuntuk pelarian yang juga pemegang kad UNHCR, kita memberikan barang mentah mengikut keperluan masing-masing,” katanya menyatakan pihaknya terbuka untuk menerima bantuan sumbangan daripada pihak UNHCR. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas