Berita

Tutorial e-Dagang Lazada buka peluang komuniti jana pendapatan

SESI tutorial e-dagang Lazada membuka peluang komuniti
- Diterbit 11 Disember 2021 6:30 AM MYT

TUTORIAL e-Dagang Lazada yang dianjur di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) PPR Kampung Muhibbah kepada komuniti membuka peluang kepada usahawan setempat menjana pendapatan.

Dengan adanya platform Lazada sebagai antara pusat beli-belah atas talian menawarkan pelbagai produk seperti makanan dan minuman, pakaian, produk kecantikan dan kesihatan, alat elektronik, perkakas rumah, peralatan sukan, permainan dan sebagainya boleh didapati hanya dihujung jari.

Sesi tutorial diadakan itu Pengerusi MPPWP Sub Zon 6, Seputeh Mohd Masri@Ajib Abu Bakar berkata bertujuan membimbing usahawan setempat bagi berniaga secara dalam talian dengan kemudahan memasarkan produk di platform digital e-dagang seperti Lazada.

Aktiviti tutorial itu katanya memberi peluang bagi pembukaan akaun baharu di platform Lazada Seller Center, seterusnya usahawan mendapat tunjuk ajar daripada staf PEDi untuk mewujudkan akaun baharu berdaftar sebagai penjual Lazada.

“Seterusnya, usahawan terlibat juga berpeluang mengembangkan perniagaan mereka daripada konsep fizikal iaitu secara tradisional dipertingkat sehingga mampu bersaing menerusi pemasaran digital bagi meluaskan pasaran pelanggan di platform e-dagang,” katanya.

Selain itu, sesi tutorial turut mendedahkan para usahawan terlibat sebagai penjual di platform Lazada dan mengetahui teknik pemasaran untuk menarik perhatian pelanggan dengan gunakan tawaran disediakan oleh pihak Lazada semasa mengikuti kempen pemasaran secara bermusim seperti kempen jualan akhir tahun ‘Lazada 12.12’.

Sementara itu, Penolong Pengarah Cawangan GSPI Jabatan Penerangan WPKLP, Muhammad Zulhilmi Mohd Jalil yang turut hadir ke sesi itu berpendapat, aktiviti tutorial itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada usahawan baharu atau sedia ada untuk menguasai kemahiran penggunaan teknologi di dalam pemasaran.

“Kemudahan ini secara langsung akan mampu menjana pendapatan bagi usahawan kita dengan berniaga di pasaran e-dagang bagi meningkatkan sumber ekonomi dan memulihkan kedudukan kewangan masing-masing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas