Berita

Tun Dr. Mahathir rasmikan Taman Etnobotani, Taman Botani Perdana

DR. MAHATHIR POKOK
DR. MAHATHIR (kanan) menanan pokok Kembang Semangkuk selepas hadir merasmikan Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur.
- Diterbit 30 Ogos 2019 6:37 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad meluangkan masa pada pagi Jumaat yang tenang hari ini dengan merasmikan Kompleks Pelawat dan Taman Etnobotani, Taman Botani Perdana di sini.

Taman Etnobotani yang merupakan hasil usaha konservasi fasa kedua Taman Botani Perdana itu siap pada April lalu dengan keluasan 1.007 hektar (2.49 ekar).

Sempena perasmian taman itu, Dr. Mahathir telah menanam pokok Kembang Semangkuk atau nama saintifiknya scaphium macropodum.

Di Taman Etnobotani terdapat pelbagai spesies pokok yang dipamerkan merangkumi pokok teduhan, palma, renek dan herba. Antaranya famili halia, kekacang da limau.

Hampir 100 spesies pokok dipamerkan yang mempunyai pelbagai kegunaan termasuk perubatan, makanan, kecantikan, adat dan keagamaan.

Reka bentuk taman tersebut lebih menekankan konsep pembelajaran dalam taman yang lebih santai.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Dalam pada itu, Nor Hisham ketika bercakap kepada pemberita berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melaksanakan proses menaikkan taraf serta konservasi Taman Botani Perdana yang telah dibuka sejak tahun 1888.

Katanya, setakat ini sebanyak RM90 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf Taman Botani Perdana.

Beliau menyatakan, fasa ketiga proses naik taraf taman tersebut akan melibatkan pembukaan Taman Orkid dan Taman Bunga Raya.

”Menjelang tahun 2022, proses naik taraf dan konservasi serta memasukkan elemen pendidikan untuk kebaikan warga kota akan disiapkan sepenuhnya.

“Proses naik taraf itu melibatkan konservasi, penyelidikan dan penambahan 600 spesies pokok tempatan,” katanya.

Jelas Nor Hisham, DBKL turut akan menaik taraf seluruh taman rekreasi miliknya di ibu kota.

Katanya, langkah itu bagi memberikan kualiti hidup yang lebih baik untuk warga ibu kota.

“Bila tengok pokok cantik ia boleh jadi terapi untuk ceriakan orang Kuala Lumpur supaya mereka dapat kerja lebih kuat,” katanya.

Nor Hisham berkata, pada masa ini Taman Botani Perdana mempunyai taraf yang sama dengan taman- taman botani di luar negara dan usaha untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa perlu memasukkan elemen penyelidikan, pendidikan dan konservasi.

Fasa kedua konservasi Taman Botani Perdana, selain Taman Etnobotani melibatkan pembinaan herbarium dengan mendapat khidmat nasihat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Pusat Interpetif (pendidikan). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas