Singgah

Lokasi luar biasa OOTD Raya di Putrajaya

- Diterbit 19 April 2024 5:26 PM MYT

MEMASUKI minggu kedua Syawal, semestinya akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti menziarahi sanak saudara mahupun kenalan di sekitar ibu kota serta menghadiri jamuan rumah terbuka.

Alang-alang sudah melaram mengenakan busana indah, apa kata abadikan kenangan di lokasi-lokasi Instagrammable untuk aktiviti OOTD anda.

Putrajaya merupakan antara lokasi pilihan buat mereka yang gemar berOOTD memandangkan destinasi pelancongan ini sarat dengan pelbagai lokasi menarik dari kawasan pantai, landskap bandar, elemen kehijauan dan sebagainya.

Mari kita lihat empat lokasi yang disenaraikan, mana tahu, ada yang sesuai dengan tema baju raya anda tahun ini!

Astaka Morocco

BAGI mereka yang pernah melancong ke Maghribi, pasti sukar hendak melupakan keindahan seni bina bangunannya yang kreatif. Untuk mengubat kerinduan tersebut, anda boleh mengunjungi Astaka Morocco yang terletak di Taman Botani Putrajaya.

Seni bina replika Astaka Morocco itu serupa yang terdapat di Marrakesh dan dibina atas pertukaran budaya antara Malaysia dan Maghribi.

Susunan mozek corak geometri yang berwarna-warni dan ukiran ayat al-Quran dan nama Allah melatari seni bina di sini memukau pandangan selain kreativiti seni bermotifkan tumbuh-tumbuhan.

Difahamkan pembinaannya mengambil masa dua tahun. Menariknya semua bahan binaan termasuk simen dan kapur khas, marmar atau jubin didatangkan khas dari Maghribi.

Bergambar di perkarangan luar adalah percuma, namun untuk memasukinya akan dikenakan bayaran sebanyak RM3. Dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula 7 pagi hingga 7 malam.

Alamat: Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1, 62000 Putrajaya.

Taman Warisan Pertanian

BERBEZA dengan taman yang lain, lokasi ini dibina bagi memelihara warisan dan pertanian di Malaysia. Sesuai dengan namanya sebagai taman warisan, ia bercirikan tradisional Melayu.

Koleksi tumbuhan seperti sireh, pokok susun kelapa dan pokok limau yang diletakkan berhampiran laluan tangga ke Kompleks Pelawat merupakan simbolik mengalu-alukan kehadiran pengunjung. Tumbuhan tersebut sinonim dengan tiga kaum di Malaysia iaitu Melayu, India dan Cina.

Plot getah yang terdapat di dalam dusun di taman berkeluasan sembilan ekar ini merupakan kawasan asal ladang getah Estet Prang Besar iaitu tapak awal sebelum pembangunan Putrajaya. Ladang getah ini mengandungi plot getah asal serta tanaman semula yang mengandungi 1,500 pokok getah dewasa daripada 71 klon seperti RRIM600 dan PB260.

Merupakan satu-satunya lokasi yang mempunyai sawah padi di Putrajaya pastinya ia menjadi port terbaik untuk bergambar berlatarbelakangkan suasana di kampung selain kawasan pokok lada hitam dan pelantar pemandangan.

Orang ramai yang ingin datang bergambar bayaran masuk yang dikenakan adalah sebanyak RM5 (MyKad) untuk dewasa manakala RM10 (non-MyKad). Bagi kanak-kanak pula bayaran yang dikenakan adalah RM2 (MyKad) dan RM4 (non-MyKad).

Alamat: No 7, Jalan P16, Presint 16, 62000 Putrajaya.

Taman Wetland

TAMAN Wetland pastinya tidak lagi asing buat warga Putrajaya mahupun sekitar. Terletak di Presint 13, taman awam seluas 3.35 km persegi ini dibangunkan dengan tujuan mengekalkan kehijauan serta sebagai green lung pembangunan Putrajaya.

Dibuka pada Selasa hingga Ahad bermula pukul 7 pagi sehingga 7 malam, Taman Wetland menyediakan pelbagai kemudahan yang menjadi tarikan pengunjung seperti Flamingo Pond, Menara Pandang, Glamping Taman Wetland dan yang terbaru Wetland Studios Putrajaya dahulunya dikenali sebagai Pusat Penghayatan Alam (NIC).

Ia bukan sahaja destinasi rekreasi, tetapi juga menjadi pusat pendidikan alam dan telah menjadi lokasi acara bagi pelbagai program berteraskan pembelajaran dan pendedahan kepada alam sekitar.

Alamat: Presint 1, 62000 Putrajaya.

Taman Saujana Hijau

Bagi penggemar OOTD destinasi ini wajib untuk anda kunjungi. Taman ini pasti tidak akan mengecewakan kerana pemandangannya yang cukup indah.

Taman Saujana Hijau Putrajaya adalah salah satu taman gaya Eropah yang menjadi tarikan penduduk setempat serta pelancong daripada luar dan dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan pine, bunga matahari serta ladang rumput seakan-akan di negara Eropah.

Jadi bolehlah anda acah-acah seperti sedang bercuti di negara Eropah apabila berkunjung ke taman rekreasi yang satu ini! Tambahan pula sunset di sini juga cantik.

Berkeluasan 47 hektar, ia dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi sehingga 7 malam dan kemasukan percuma.

Alamat: Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas