Berita

Agong berkenan rasmi Floria Diraja Putrajaya 2019

YANG Dipertuan Agong
YANG Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringgi Khalid (dua kiri) dan Aminuddin (kiri) melihat Orkid Vanda yang diberi nama Queen Azizah Iskandar sebagai simbolik perasmian Festival Floria Diraja Putrajaya 2019 di Taman Botani Puyrajaya. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 30 Ogos 2019 7:20 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2019 yang berlangsung di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya.

Vanda Queen Azizah Iskandar

Baginda juga berkenan merasmikan koleksi orkid hibrid baharu yang diberi nama ‘Vanda Queen Azizah Iskandar bersempena dengan nama Tunku Azizah. Bunga itu turut didaftarkan di International Cultivar Registration Authority pada 17 Julai lepas.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis itu.

Pasangan diraja itu turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat sekitar kawasan tapak festival yang turut diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd. Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Festival kali ke-11 itu mempamerkan satu juta kuntum bunga-bungaan daripada pelbagai jenis termasuk lebih 500 variasi spesies orkid, 100 koleksi bonsai dan 70 pameran taman dengan pelbagai tema dan reka bentuk termasuk jam bunga.

Dengan sasaran 500,000 pengunjung, Floria Diraja Putrajaya akan dibuka kepada orang awam bermula esok sehingga 8 September yang mengetengahkan orkid dan bonsai sebagai bunga tema pada festival berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas