Berita

KLHA pancing Faizal Saari, Fitri

AKSI Mohd. Fitri (kanan) mengasak Pemain KLHC pada TNB Malaysian Hockey League 2018 yang diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil . - Gambar hiasan
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:43 PM MYT

KUALA LUMPUR – Menjelang musim baharu Liga Hoki Malaysia (MHL) 2020, Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) telah mengorak langkah paling awal memancing dua tonggak utama skuad Malaysian Tigers bagi memperkuatkan pasukan yang bakal dibentuk nanti.

Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, dia kini sudah memikirkan untuk mendapatkan penyerang sensasi negara, Faizal Saari dan adiknya Fitri namun perlu membincangkan hasrat berkenaan dalam kalangan ahli jawatankuasa badan induk berkenaan terlebih dahulu.

Ketika ini Faizal dan Fitri masih menjadi milik Pasukan Hoki Terengganu (THT) namun kontrak mereka berdua akan tamat pada hujung tahun ini.

“Mungkin juga kami akan dapatkan mereka kerana seperti saya maklumkan sebelum ini kami mahu membentuk pasukan terbaik.

“Saya juga dapat rasakan mereka mungkin berminat menyertai kami,” kata Megat D. Shahriman.
Dalam pada itu, Fitri, 26 tahun, memaklumkan dia sedia mempertimbangkan pelawaan berkenaan sekiranya menerima tawaran lebih menarik berbanding pasukan asalnya THT.

“Saya akan pilih pasukan dengan kontrak lebih menarik. Jika tawaran Kuala Lumpur lebih bagus, saya akan ke Kuala Lumpur tetapi kalau THT dapat bagi lebih menarik, mungkin saya kekal di sana.

“Lagipun, saya akan menyambung pengajian ijazah sarjana Pengurusan Sukan di Universiti Malaya hujung tahun ini yang menyebabkan saya perlu kerap berada di Kuala Lumpur. Apa-apa pun saya akan fikir semula mengenai perkara ini,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas