Berita

Tingkat persediaan hadapi peningkatan kes positif Covid-19

ANNUAR dan Zulkifli melihat sumbangan pek makanan Foodbank YaPEIM untuk petugas barisan hadapan di pekarangan Pejabat Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 7 April 2020 4:11 PM MYT

KUALA LUMPUR – Pusat Pengurusan Krisis (CMC) di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu meningkatkan kesiapsiagaan dan mengambil maklum mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di banda raya ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, pihaknya telah mendapat maklumat mengenai lokaliti yang lebih kecil serta memerlukan tindakan yang lebih spesifik.

“Tumpuan kita adalah di kawasan Jalan Masjid India kerana angka terbaru menunjukkan peningkatan kes dan membabitkan dua buah bangunan berhampiran dengan Menara City One dan mencatatkan sehingga 45 kes positif Covid-19.

“Mengikut definisi Kementerian Kesihatan (KKM), kes positif yang melebihi 40 akan dikira sebagai Zon Merah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Foodbank Yapiem di Pejabat Penguatkuasa lan DBKL hari ini.

Menurut Annuar, secara keseluruhan keadaan masih terkawal walaupn terdapat peningkatan kes positif yang dilaporkan setiap hari.

“Melalui ujian saringan yang dilakukan oleh KKM kira-kira 20 hingga 30 kes positif dilaporkan setiap hari.

“Lebih banyak ujian saringan itu dilakukan, didapati kes positif terus bertambah,” katanya.

Annuar berkata, secara relatifnya pihaknya tidak mahu mengambil peluang untuk mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di semua kawasan Zon Merah.

“Kita nak pastikan Kuala Lumpur dikawal dan terkawal sepenuhnya daripada penularan (Covid-19). Kita tak mahu ada budaya sambil lewa ataupun budaya ambil mudah.

“Biarlah kita bersusah-susah dahulu supaya kita tak berdepan dengan situasi lebih buruk pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Annuar menyaksikan penyerahan sumbangan Foodbank oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada 425 penghuni di Menara Plaza City One yang dikenakan PKPD sejak minggu lalu.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zukifli Mohamad.

Sementara itu, Zulkifli menyifatkan kolaborasi dalam membantu mereka yang amat memerlukan merupakan satu langkah terpuji.

“Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membantu usaha tersebut dan ia turut melibatkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), YaPEIM, Tabung Haji dan beberapa institusi di bawah jabatan kami.

“Bukan sekadar makanan, minuman malah barang-barang untuk dimasak kami akan cuba bantu dengan sebaik-baiknya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas