Berita

Pusat Giat Mara jadi tempat kuarantin kedua

FARY (dua dari kanan) meninjau keadaan bangunan Pusat Giat Mara Labuan yang diwartakan sebagai pusat kuarantin Covid-19 hari ini.
- Diterbit 7 April 2020 3:52 PM MYT

LABUAN- Pesakit yang dikuarantin di rumah di bawah pengawasan dan pemerhatian akan dipindahkan ke pusat kuarantin baharu di Pusat Giat Mara Kampung Rancha-Rancha di sini hari ini.

Bangunan Giat Mara merupakan pusat kuarantin kedua yang telah diwartakan oleh Kementerian Kesihatan diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan kapasiti 125 katil.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, kira-kira 2,000 orang telah ditempatkan di bawah Perintah Pengawasan Rumah selama 14 hari.

“Pesakit-pesakit yang diklasifikasikan sebagai berisiko rendah akan dipindahkan ke pusat kuarantin kerana kita tidak mahu wujudnya kelompok baharu atau mempunyai ahli keluarga mereka dengan sistem imun yang rendah dijangkiti,” katanya sebelum melakukan lawatan ke pusat kuarantin itu hari ini.

Fary yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan berkata, sejumlah 50 pesakit fasa pertama akan dipindahkan secara berperingkat dengan 12 orang daripadanya ditempatkan ke pusat kuarantin yang baharu

“Kami masih menunggu lebih banyak katil untuk disumbangkan oleh pemain industri kewangan untuk membantu melengkapkan pusat itu dengan kemudahan yang diperlukan supaya kami boleh memindahkan lebih ramai pesakit dengan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 94 pesakit di bawah penyeliaan dan pemerhatian dikuarantin di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan.

“Daripada jumlah itu, 66 adalah lelaki manakala selebihnya wanita dan terdapat dua remaja berumur 12 tahun (lelaki) dan 15 (perempuan) yang turut menjalani pengawasan di pusat itu,” katanya.

Fary berkata, Labuan memerlukan sekurang-kurangnya empat pusat kuarantin dengan dua lagi akan dibuka.

Labuan mencatatkan 12 kes kumulatif dengan dua daripadanya telah sembuh dan seramai 28 pesakit di bawah siasatan (PUI) dikuarantin di Hospital Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas