Agama

Tilmizah Syahirah, peserta pertama tersingkir dari Akademi Qurra’

Saifulizzam Mohd Lizah| BARISAN 12 peserta Akademi Qurra'.|INILAH Barisan juri Akademi Qurra' yang akan membuat penilaian.|MEMUKAU... Itulah persembahan hebat daripada penyanyi jemputan
- Diterbit 5 Februari 2023 1:33 PM MYT

QARIAH atau Tilmizah Nur Ain Syahirah Shaifullah, 21, menjadi peserta pertama yang tersingkir pada minggu kedua program Akademi Qurra’ yang ditayangkan di TV AlHijrah, semalam.

Syahirah yang berada dibawah bimbingan Mudarrisah, Ustazah Farhatul Fairuzah mengakui sedih atas penyingkiran itu, namun bersyukur dipilih menjadi peserta program itu.

“Perasaan saya memang sangat sedih, kalau boleh tak nak tinggalkan. Saya memang sudah rapat dengan rakan-rakan dan mudarrisah di sini. Keluarga di rumah pun memang memberikan harapan kepada saya.

“Sebenarnya untuk minggu kedua ini ada peningkatan dari segi suara dan lagu. Cuma mungkin ada salah pada bahagian lagu, saya mungkin termasuk lagu lain. Sebab saya tidak perasan dan bukan mudah untuk berada di pentas ini. Tapi saya tetap bersyukur disebabkan daripada ramai peserta saya antara 12 yang terpilih,” katanya.

TILMIZAH Syahirah peserta pertama tersingkir.
FARHATUL Fairuzah menenangkan Tilmizah Syahirah.

Menurutnya yang berasal dari Kelantan, penyingkiran itu bukan penamat untuknya terus belajar memperbaiki kelemahan diri.

“Untuk taranum ini saya nak cari lagi guru-guru yang hebat dan banyak ilmu. Saya tak akan berhenti sampai sini dan akan datang lagi.

“Saya akan terus rujuk guru-guru yang ada di sini. Saya akan teruskan sampai bila-bila,insya-Allah. Sebab ilmu tarannum dan al-Quran ini sampai mati,” katanya.

PENERBIT Eksekutif, Saifulizzam Mohd Lizah
BARISAN 12 peserta Akademi Qurra’.

Pada minggu kedua yang bertemakan Inspirasi – OKU Penglihatan, Tilmiz Akasyah berada di kedudukan tertas, diikuti oleh Tilmiz Zuhdi dan Tilmiz Saifullah.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Akademi Qurra’, Saifulizzam Mohd Lizah berkata, penyingkiran perlu dibuat selepas kesemua peserta diberi peluang pada episod pengenalan pada minggu lalu.

“Kalau diikutkan saya memang mahu simpan mereka semua dan agak susah untuk buat keputusan penyingkiran ini sebab semua peserta sangat komited. Bila saya ambil laporan daripada mentor, peserta ini sangat bersungguh-sungguh.

“Mungkin sebab sudah lama tidak ada program seperti ini, jadi mereka punya semangat sangat hebat. Ia ditambah pula dengan sokongan daripada penonton.

“Berdasarkan reaksi penonton di media sosial, 98 peratus memberikan maklum balas positif untuk program seperti ini.

“Bagaimanapun, penyingkiran tetap harus dibuat sebab akhirnya nanti pada minggu kelapan, mungkin ada lima sahaja peserta ke peringkat akhir dan itu adalah perancangan awalnya.

“Jadi, untuk peserta yang tersingkir, saya tetap benarkan untuk terus berada dalam kelas sama ada secara dalam talian atau fizikal. Sekurang-kurangnya mereka terus dapat ilmu itu,” katanya.

INILAH Barisan juri Akademi Qurra’ yang akan membuat penilaian.

Berkongsi mengenai perkembangan prestasi peserta, Saifulizan berkata, perasaan gemuruh itu masih ada.

“Dari segi peningkatan peserta saya nampak mereka bersusah payah mungkin sebab gemuruh. Mereka biasa masuk pertandingan tilawah, tapi bukan di peringkat yang tinggi. Perasaan gemuruh itu datang bila lihat ada juri, kamera banyak dan sebagainya.

“Jadi, minggu ini saya buat satu sesi untuk mantapkan diri dan alhmadulillah mereka semua nampak lebih bersedia. Inilah yang akan berlaku pada setiap minggu, kami mahu mereka lebih mahir dan faham ilmu taranum termasuk ilmu tajwid,” katanya.

MEMUKAU… Itulah persembahan hebat daripada penyanyi jemputan, Azmi Saat.

Program Akademi Qurra’ dihoskan oleh Fakhrul UNIC, disiarkan setiap Sabtu, jam 9 malam dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar dan juri jemputan berbeza pada setiap minggu.

Manakala Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ustaz Ammar Mukhlis, Ustazah Farhatul Fairuzah dan Ustazah Sofizah Mousin.

Minggu kedua turut menampilkan juri jemputan Ustaz Dr. Lokman Ibrahim dan penyanyi jemputan Azmi Saat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas