Selebriti

Sedekad dalam industri seni… Yura Yunita tunai janji peminat Malaysia

|||||||
- Diterbit 5 Februari 2023 1:20 PM MYT

PENYANYI popular Indonesia, Yura Yunita meluahkan rasa puas dan gembira akhirnya berjaya melunaskan janjinya kepada peminat iaitu mengadakan konsert di Malaysia.

Berkongsi perasaan teruja dapat bertemu dengan peminat di negara ini, jelas Yura tempoh dua tahun menyimpan impian untuk beraksi secara langsung di hadapan peminat di Malaysia membuatkan dia cukup bersyukur diberikan kesempatan ini.

“Menjadi impian terbesar saya mengadakan persembahan di Kuala Lumpur. Jadi ini adalah antara impian yang telah direalisasikan, saya sangat bersyukur dengan komitmen yang diberikan semua pihak dalam menghasilkan konsert ini.

“Paling indah, Kuala Lumpur juga merupakan lokasi pertama konsert sebelum ke lokasi lain. Semoga dengan penghargaan kecil ini dapat melunaskan hutang saya kepada peminat di sini yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya yang beraksi dalam konsertnya Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur, pada 2 Februari lalu di Zepp KL.

KONSERT Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur dapat sambutan luar biasa.

Menjadikan curahan jiwa sebagai bekal dalam karyanya, penyanyi berusia 31 tahun ini juga memberitahu konsert itu menjadi pentas terbaik buat dirinya berkongsi apa yang dilaluinya bukan sahaja sebagai seorang anak seni tetapi seorang wanita dan juga isteri.

“Sejak album pertama sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang saya kongsikan bersama peminat menerusi karya.

“Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur menjadi pentas saya dan peminat berkongsi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh berliku, tetapi tidak pernah patah semangat untuk sentiasa berjuang.

“Soalnya setiap daripada kita mempunyai dugaan berbeza, sama seperti saya. Cumanya saya diberi kelebihan untuk berkongsinya melalui lagu-lagu ciptaan saya yang saya persembahkan kepada peminat saya di Malaysia,” katanya.

YURA berkongsi rasa menerusi lagu-lagu yang dibawakannya dalam konsert.

Merupakan rakan duet mendiang Glenn Fredly untuk lagu, Cinta Dan Rahasia, Yura yang juga penerima anugerah Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017 (AMI 2017) dan menjadi Penyanyi Solo Wanita Terbaik (AMI 2018) telah membawakan lagu-lagu terbaiknya antaranya Tutur Batin dan Dunia Tipu-Tipu.

“Dua tahun saya menantikan saat ini, jadi saya janji memberikan yang terbaik buat penonton di konsert ini.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak penaja Wardah yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menghiburkan peminat di sini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati membawa Yura ke Malaysia.

“Karya Yura mempunyai aura yang kuat dan selalu berbicara mengenai semangat dan inspirasi dalam kehidupan.

“Karyanya banyak menyentuh mengenai kelebihan dan kekurangan manusia sehingga mengajak kita agar kuat percayakan diri.

“Lagu seperti Dunia Tipu-Tipu, Cinta dan Rahasia dan Tutur Batin antara bukti karya Yura memberi inspirasi kepada kita. Disebabkan itulah, Renjana Idea mahukan semangat ini dikongsikan,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas