Berita

Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2020 ditunda

- Diterbit 14 Mac 2020 1:38 PM MYT

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2020 yang dijadual berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 31 Mac hingga 5 April ini, ditangguhkan ke tarikh yang akan diputuskan kelak.

Tindakan BAM itu diambil selepas melakukan rundingan bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) serta keputusan dilakukan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan acara sukan sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 sehingga akhir April.

“Bayaran balik untuk pembeli tiket akan bermula pada Isnin (16 Mac 2020) dan akan diproses dalam tempoh lapan hari bekerja.

“Ekoran situasi yang di bawah kajian berterusan, BAM akan terus memantau semua nasihat kerajaan dengan keselamatan dan kesihatan semua menjadi keutamaan,” kata kenyataan BAM yang dimuat naik di laman webnya hari ini.

Sebelum ini BAM dilaporkan masih tidak membuat keputusan menunda Terbuka Malaysia walaupun Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) menasihatkan agar semua acara sukan tempatan dan antarabangsa ditangguhkan bagi mencegah jangkitan Covid-19.

PPS menerusi kenyataan pada Khamis lalu menasihatkan penganjur sukan tempatan dan antarabangsa menangguhkan semua acara berkenaan ke suatu tempoh yang akan ditetapkan pihak berkuasa.

Jelasnya, nasihat berkenaan selaras dengan arahan dan nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas